Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: 25% warga emas di S'pura alami kejadian terjatuh

Dianggarkan 25 peratus atau satu daripada setiap empat warga tempatan berusia 65 tahun dan ke atas akan mengalaminya dalam usia senja mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
FOKUS: 25% warga emas di S'pura alami kejadian terjatuh

Gambar: BERITAMediacorp

SINGAPURA: Kejadian terjatuh merupakan antara masalah-masalah yang ditakuti golongan tua.

Dianggarkan 25 peratus atau satu daripada setiap empat warga tempatan berusia 65 tahun dan ke atas akan mengalaminya dalam usia senja mereka.

Lantaran itu beberapa institusi kesihatan tempatan sudah mula mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kejadian sedemikian.

BERITAMediacorp tinjau salah satu inisiatif itu serta keberkesanannya dalam FOKUS.

PERKARA BIASA BAGI BEBERAPA WARGA TUA

Sejak setahun lalu, beberapa penduduk tua di estet perumahannya dimasukkan ke hospital kerana cedera akibat terjatuh.

Setiap tahun di negara ini sekitar 8,000 warga tempatan berusia 65 tahun dan ke atas dimasukkan ke hospital kerana terjatuh.

Namun yang membimbangkan, golongan itu juga lebih cenderung mengalami kecederaan serius seperti keretakan di pinggang ataupun komplikasi yang boleh membawa maut.

Kejadian jatuh juga boleh menimbulkan rasa takut dan ini menjejas sekitar 70 peratus warga tua tempatan yang pernah jatuh.

Bagi Cik Ramlah Atan yang berusia 69 tahun, meskipun beliau tidak pernah jatuh, kisah rakan-rakan sebaya yang pernah mengalaminya sudah cukup memberi kesan yang mendalam.

"Ada jugalah rasa takut tapi apabila kita dah teringat, kita mesti berhati-hati jalan, perlahan-lahan jalan, kita tengok bawah, ke apa," kata beliau.

Bagaimanapun Cik Ramlah kini lebih kuat dan yakin untuk berjalan setelah menyertai program ‘Step It Up’, kelolaan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Setiap bulan TTSH menerima sekitar 420 pesakit tua yang cedera kerana terjatuh.

Dan menurut perangkaan HPB, 70 peratus daripada kejadian jatuh itu berlaku di rumah.

SALAH SATU TUMPUAN ADALAH UNTUK WUJUDKAN KEADAAN SELAMAT

Oleh itu salah satu tumpuan program 'Step It Up' adalah cara menjadikan keadaan di rumah warga tua itu lebih selamat.

"Seperti anda boleh lihat, ada wayar-wayar di sini. Ia boleh menyebabkan golongan tua terjatuh. Jika mereka tidak berhati-hati, mereka boleh tersandung wayar ini.

"Lebih baik jika ia ditempatkan di sini bagi memastikan ia tidak menghalang laluan jalan. Lihat pada perabut rumah yang besar seperti kipas ini. Adalah lebih baik jika ia diletakkan di tepi supaya tidak menghalang jalan.

"Jika anda lihat di sana pula, laluan untuk ke tandas agak sempit. Jadi lebih baik jika kerusi-kerusi ini diletakkan di tepi supaya ada cukup ruang untuk warga tua berjalan," ujar Ahli Terapi Cara Kerja TTSH Priscilla Chng.

Walaupun para peserta tidak wajib mengikuti nasihat yang diberikan, Cik Chng berkata para ahli terapi cara kerja akan cuba memujuk mereka dengan bantuan orang-orang yang rapat.

Beliau menambah: "Kita akan bercakap dengan ahli keluarga mereka, dapatkan mereka untuk menggalak orang tua mereka supaya melakukan perubahan itu.

"Atau bagi mereka yang tinggal sendirian tanpa ahli keluarga, kita akan mendekati para kakitangan di pusat kegiatan supaya kerap mengunjungi rumah mereka bagi memastikan mereka membuat tindakan susulan bagi beberapa strategi cegah jatuh di rumah."

Langkah pencegahan tidak setakat berhenti di situ.

Memantapkan kesihatan dan kecergasan tubuh merupakan antara aspek lain yang dititikberatkan dalam program enam bulan ini.

Misalnya, sesi senaman seperti ini diadakan dua kali seminggu selain ceramah-ceramah kesihatan dan keselamatan yang dijalankan oleh para pakar.

HASIL YANG MEMBERANGSANGKAN

Setakat ini hasilnya agak memberangsangkan.

Satu kajian baru-baru ini menunjukkan, kadar terjatuh di kalangan peserta yang ditinjau turun 37 peratus manakala bilangan mereka yang dimasukkan ke dalam unit kecemasan setelah jatuh adalah 50 peratus lebih rendah.

"Kami juga dapati peserta kami lebih kuat dan lebih aktif. Mereka juga lebih berkeyakinan untuk menjalani kegiatan," kata Dr Noor Hafizah Ismail, Konsultan Kanan Jabatan Penjagaan, Berterusan & Masyarakat TTSH.

Namun Dr Hafizah menekankan, golongan tua perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.

Sekiranya terjatuh pula mereka perlu segera berjumpa doktor bagi memastikan ia tidak berpunca daripada masalah yang lebih besar.

"Ini kerana di sebalik kejatuhan itu mungkin ada sesuatu penyakit yang membuat mereka jatuh seperti penyakit Parkinsons. Kadang kala kerana mereka pening ataupun tekanan darah yang berkurangan. Jadi bukan semua jatuh itu akibat kemalangan, mungkin di sebalik itu ada sesuatu penyakit," tambah beliau.

Sejauh ini, program 'Step It Up' telah mendampingi hampir 2,500 peserta menerusi sokongan lebih 30 rakan kerja masyarakat di beberapa kawasan tengah seperti Ang Mo Kio, Toa Payoh dan Hougang.

Program itu juga melatih individu-individu seperti Cik Ramlah supaya dapat memimpin warga tua lain dalam sesi-sesi senaman di luar program tersebut.

Sedang bilangan penduduk tua di negara ini terus bertambah peranan masyarakat juga dijangka bertambah genting dalam memastikan warga emas menjalani hidup lebih sihat, aktif dan berdikari.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan