Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma guaman kecil, sederhana dapat bantuan dakapi digital dengan program S$2.8 juta

Sebuah program bernilai S$2.8 juta dilancarkan hari ini (27 Feb) untuk membantu firma-firma guaman Singapura bersaiz kecil dan sederhana untuk menggunakan teknologi.

Anggaran Waktu Membaca:
Firma guaman kecil, sederhana dapat bantuan dakapi digital dengan program S$2.8 juta

(Gambar fail: AFP/Daniel Mihailescu)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 04:14PM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 04:15PM

SINGAPURA: Sebuah program bernilai S$2.8 juta dilancarkan hari ini (27 Feb) untuk membantu firma-firma guaman Singapura bersaiz kecil dan sederhana untuk menggunakan teknologi.

Ini diumumkan oleh Kementerian Undang-Undang, Persatuan Guaman Singapura dan SPRING Singapore.

Firma-firma kecil dan sederhana - yang mempunyai sehingga 30 peguam - membentuk 97 peratus firma guaman di Singapura. Namun, menurut satu kajian oleh Persatuan Guaman pada 2016, hanya 9 peratus firma yang ditemubual sudah menggunakan alat-alat teknologi untuk mempertingkatkan daya penghasilan, dan kos merupakan sebab utama yang diberikan bagi kadar penggunaan yang rendah. Tinjauan itu melibatkan kumpulan-kumpulan fokus dengan 35 peguam dan temubual dengan 58 firma.

Di bawah program baru 'Tech Start for Law', yang dibiayai SPRING Singapore sepanjang setahun, firma-firma guaman yang membeli produk-produk berkaitan teknologi yang tertentu boleh mendapatkan pembiayaan kos sebanyak 70 peratus untuk tahun pertama, menurut Kementerian Undang-Undang.

Khususnya, lima produk sudah dikenal pasti sebagai teknologi-teknologi asas yang akan membantu firma-firma guaman bekerja dengan lebih cekap. Antaranya ialah sistem-sistem pengurusan amalan yang boleh membantu firma-firma memperhalusi pengurusan kes dan rekod anak guam, sebuah alat kajian guaman online dan sebuah alat pemasaran online.

Mediacorp difahamkan bahawa produk-produk yang disenaraipendek itu menelan belanja antara S$3,000 hingga S$30,000 setiap satu. Di bawah program tersebut, setiap firma boleh memohon mendapatkan pembiayaan untuk sehingga tiga produk tersebut.

"Kerjaya guaman, seperti banyak sektor lain, menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia baru ini," kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam hari ini. "Dan untuk terus berada di hadapan, antara perkara yang diperlukan ialah melabur dalam tenaga manusia dan teknologi yang bermutu."

Encik Shanmugam akur bahawa firma-firma guaman lebih kecil mungkin tidak mempunyai sumber-sumber untuk melabur dalam teknologi, dan berkata program tersebut akan membolehkan mereka "mempertingkatkan diri, dan ini akan membuat mereka lebih berdaya saing."

Program Tech Start for Law sejajar dengan usaha Singapura menggalak lebih banyak syarikat kecil dan sederhana (SME) mendakapi alat-alat digital dalam tugas harian mereka, tema utama dalam laporan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan baru-baru ini.

Mediacorp difahamkan bahawa pihak berkuasa akan menilai program pembiayaan itu selepas setahun. Persatuan Guaman menyatakan ia juga merancang satu pameran bergerak teknologi guaman pada Mac untuk menggalak lebih banyak firma menggunakan teknologi.

Firma-firma guaman yang berminat boleh memohon dengan Sekreteriat Persatuan Guaman dari 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2018 untuk mendapatkan pembiayaan.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan