Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fajar Ashraf, yang buang kucing dari tingkat 10, dipenjara 18 minggu

Seorang lelaki berusia 25 tahun yang membuang seekor kucing daripada tingkat 10 sebuah blok HDB di Tampines, dan kemudian menghentakkan haiwan itu ke lantai hingga mati, dijatuhi hukuman penjara 18 minggu hari ini (13 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Fajar Ashraf, yang buang kucing dari tingkat 10, dipenjara 18 minggu

Fajar Ashraf Fajar Ali meninggalkan Mahkamah Negara pada 9 Jan 2017. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 13 Mar 2017 04:32PM Dikemas Kini : 13 Mar 2017 04:33PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang membuang seekor kucing daripada tingkat 10 sebuah blok HDB di Tampines, dan kemudian menghentakkan haiwan itu ke lantai hingga mati, dijatuhi hukuman penjara 18 minggu hari ini (13 Mac).

Fajar Ashraf Fajar Ali sebelum ini mengaku bersalah atas dua tuduhan mendera haiwan. Dia mendera seekor kucing betina berbulu pendek dengan mencampakkannya daripada pelantar tangga tingkat 10 di Blok 884, Tampines Street 83, pada 26 Mei tahun lalu.

Dia kemudian menghentakkan kucing malang itu ke lantai sebanyak dua kali hingga ia mati.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim daerah May Mesenas berkata hukuman pencegahan harus dijatuhkan supaya individu-individu seperti Fajar tidak akan melakukan tindakan serupa terhadap haiwan.

Meskipun beliau menarik perhatian bahawa Fajar memperlakukan kucing tersebut sedemikian kerana marah, beliau berkata ia ternyata bukan satu alasan baginya bertindak sedemikian. Beliau juga mengambil kira bahawa ia adalah kesalahan pertama Fajar dan dia mengaku bersalah serta-merta.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa pada sekitar 1.00 pagi hari itu, Fajar keluar dari rumahnya untuk mencari dan bermain dengan kucing. Selepas beberapa ketika, dia melihat kucing betina tersebut dan berjaya memujuknya masuk ke dalam lif. Dia membawanya ke pelantar tangga di tingkat 10 dan bermain dengannya.

Setelah itu, kucing tersebut cuba melepaskan diri tetapi Fajar memujuknya kembali kepadanya dengan menawarkan lebih banyak makanan.

Namun apabila kucing itu mendekatinya, dia mengangkatnya dan mencampakkannya dari belebas di tingkat 10.

Setelah itu, Fajar turun ke bawah dan melihat kucing itu masih hidup. Dia lalu mengangkatnya dan menghentakkan kucing itu ke lantai sebanyak dua kali untuk memastikan haiwan itu mati. Dia juga mengeluarkan pemetik api dan menyalakan api untuk memeriksa sama ada kucing itu benar-benar sudah mati, sebelum meninggalkan tempat itu.

Fajar ditangkap pada 31 Mei, lima hari selepas insiden tersebut, setelah seorang saksi yang tinggal di Blok 885, Tampines Street 83 membuat aduan polis.

Beliau terdengar bunyi bising dari blok bertentangan dan melihat Fajar menghentakkan kucing itu ke lantai. Kucing tersebut sudah terbaring kaku apabila beliau tiba di bawah blok itu.

Fajar kemudian memberitahu para penyiasat bahawa dia melakukan kesalahan-kesalahan itu kerana "marah" kucing-kucing tidak mahu mendekatinya.

Bagi kesalahan pertama, hukuman maksimum yang dikenakan bagi setiap tuduhan mendera seekor haiwan dengan kejam ialah denda S$15,000, atau penjara 18 bulan atau kedua-duanya sekali. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan