Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Estet Lee Kuan Yew derma perabot, barangan peribadi

Para pengamanah estet Encik Lee Kuan Yew, iaitu anak beliau Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang, menghadiahkan beberapa buah perabot dan barangan peribadi daripada rumah mantan Perdana Menteri itu, kepada rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Estet Lee Kuan Yew derma perabot, barangan peribadi

Sebuah meja kerja Sitoca, lampu dengan kanta pembesar dan gunting antara barangan milik Encik Lee Kuan Yew yang didermakan kepada Singapura. (Gambar: Stamford Law)

Diterbitkan : 12 Jun 2015 01:00AM Dikemas Kini : 12 Jun 2015 01:10AM

SINGAPURA: Para pengamanah estet Encik Lee Kuan Yew, iaitu anak beliau Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang, menghadiahkan beberapa buah perabot dan barangan peribadi daripada rumah mantan Perdana Menteri itu, kepada rakyat Singapura.

Rumah tersebut terletak di 38 Oxley Road. Demikian menurut kenyataan oleh syarikat guaman Stamford Law, yang dikeluarkan atas pihak anak perempuan dan anak lelaki mendiang hari ini.

Persetujuan itu ditandatangani Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Isnin lalu. Antara barangan yang dihadiahkan termasuk semua perabot di ruang makan, bilik belajar dan meja-meja kerja, termasuk meja yang digunakan mendiang Encik Lee selama bertahun-tahun lamanya.

Turut dihadiahkan ialah baju-baju yang dipakai mendiang dalam beberapa acara bersejarah.

Dua baju kemeja mendiang Encik Lee Kuan Yew yang didermakan kepada Singapura. (Gambar: Stamford Law)

Dua baju kemeja mendiang Encik Lee Kuan Yew yang didermakan kepada Singapura. (Gambar: Stamford Law)

Barangan-barangan itu sudah diserahkan kepada NHB, sebagai persiapan untuk satu pameran besar-besaran di Galeri Peringatan SG50 pada Ogos atau September, menurut kenyataan itu.

"Kami percaya barangan-barangan ini akan menarik perhatian ramai dan amat bermakna bagi pameran itu," kata Encik Lee Hsien Yang dalam kenyataan tersebut.

Beg diperbuat di Britain dengan tulisan "L. K. Y." tertera, yang digunakan Encik Lee Kuan Yew semasa beliau ke London pada 1960-an. (Gambar: Stamford Law)

Beg yang dihasilkan di Britain dengan tulisan "L. K. Y." tertera, yang digunakan Encik Lee Kuan Yew semasa beliau ke London pada 1960-an. (Gambar: Stamford Law)

Encik Lee menambah bahawa beliau dan adik perempuannya itu, sebagai pengamanah estet itu, percaya beberapa barangan peribadi mendiang ayah mereka yang mempunyai nilai sejarah dan pernah digunakannya di dalam rumah itu, sesuai didermakan kepada NHB.

Beliau berkata ini bertepatan dengan wasiat mendiang ayahnya yang ingin rumahnya di 38 Oxley Road itu dirobohkan selepas pemergiannya.

NHB pula menyatakan pihaknya mengalu-alukan semua artifak yang akan "mengekalkan kisah perjuangan bapa-bapa pengasas kami", termasuk daripada mendiang Encik Lee. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan