Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ESM Goh, TODAY tubuh dana kebajikan bantu golongan kurang upaya

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dan akhbar TODAY sudah menubuhkan satu dana kebajikan untuk membantu mempertingkatkan prospek pendidikan, kemahiran dan pengambilan kerja golongan kurang upaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Dec 2016 06:30PM Dikemas Kini : 03 Dec 2016 01:01AM

SINGAPURA: Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dan akhbar TODAY sudah menubuhkan satu dana kebajikan untuk membantu mempertingkatkan prospek pendidikan, kemahiran dan pengambilan kerja golongan kurang upaya.

Dana Enable TODAY, yang dilancarkan hari ini (2 Dis), akan mengumpul dana untuk golongan kurang upaya bagi memenuhi aspirasi pekerjaan, sukan atau seni mereka, serta membiayai program-program pembelajaran untuk membantu mereka lebih berdikari.

Ia juga akan fokus terhadap mewujudkan sikap empati dan inklusif yang lebih tinggi di kalangan masyarakat. Dana itu akan ditadbir oleh SG Enable, agensi Pemerintah yang menyediakan sokongan bagi golongan kurang upaya.

Encik Goh, penaung dana itu, melancarkan inisiatif tersebut sempena ulang tahun pertama Enabling Village, ruang masyarakat yang fokus kepada melatih dan mengambil pekerja golongan kurang upaya.

Acara itu juga menandakan Hari Antarabangsa Individu-Individu Kurang Upaya, yang diraikan di seluruh dunia pada 3 Disember.

Berucap di pelancaran dana itu, ESM Goh menarik perhatian bahawa setiap tahun, sekitar dua hingga tiga peratus rakyat Singapura dilahirkan dengan kekurangan upaya, sama ada autisme, Sindrom Down, distrofi otot dan lain-lain lagi. Ini menjadikan jumlah penduduk dengan kekurangan upaya sekitar 100,000.

"Kami biasanya menunjukkan belas kasihan kepada golongan berkeperluan khas. Namun kami harus melihat menjangkaui kekurangan upaya dan melihat kekuatan dan potensi mereka. Saya kagum dengan daya bingkas dan bakat yang dimiliki ramai mereka," katanya.

ESM Goh berkata, tidak semua keluarga mempunyai keupayaan dan sumber untuk menjalankan langkah campur tangan secara awal dan membantu anggota keluarga mereka yang kurang upaya merealisasikan potensi mereka, jadi dana itu boleh membantu dalam hal itu.

"Menjangkaui kekurangan upaya mereka, mereka ini turut mempunyai kebolehan. Jadi tujuan dana ini ialah membantu individu-individu ini dan keluarga mereka menggilap kebolehan mereka. Mereka mungkin ada bakat dalam bidang seperti melukis, muzik, dan lain lagi, namun potensi mereka tidak akan tercapai jika bakat-bakat mereka ini tidak dipupuk dengan betul."

Beliau menambah: "Dana ini membantu untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Singapura bahawa kita mampu melakukan sesuatu untuk menyertakan mereka dalam masyarakat kita, untuk membantu membangunkan keupayaan mereka dan menukar kelemahan mereka menjadi satu kekuatan."

Cik Wong Seok Fun, yang mempunyai dua anak lelaki berkeperluan khas, berharap anak-anaknya dapat meraih manfaat daripada dana itu. Beliau mahu memasukkan mereka dalam kelas-kelas sukan yang menawarkan latihan khusus, kerana adalah lebih kondusif bagi mereka belajar kemahiran baru menerusi latihan secara individu daripada secara berkumpulan.

Encik Walter Fernandez, Ketua Editor Mediacorp dan Editor TODAY, berkata: "Tugas paling penting sesebuah pertubuhan berita ialah berkhidmat kepada masyarakat, memberikan suara kepada aspirasi mereka, membangkitkan keprihatinan mereka, memaklumkan tentang isu-isu dan trend yang penting untuk mereka, dan akhirnya, menyatukan mereka. Ini matlamat teras TODAY sejak penubuhannya.

"Singapura sudah mengambil langkah-langkah berani untuk membangunkan masyarakat inklusif, dan kami mahu memainkan peranan lebih besar dalam usaha ini. Kami percaya kami lebih kuat apabila bersatu. Dana ini akan membantu dalam usaha ini. Ia akan membolehkan individu kurang upaya bercita-cita, dan menyediakan laluan untuk mereka merealisasikan aspirasi mereka, agar mereka juga akan merasakan mereka dengan sepenuhnya adalah sebahagian daripada Singapura kita."

TODAY merupakan rakan kongsi rasmi dana itu.

Mereka yang ingin menyumbang derma boleh ke laman ini.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan