Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: Satu revolusi gaya hidup diperlukan bagi masyarakat Melayu atasi penyakit kencing manis

Dengan penyakit kencing manis menjejas hampir seperlima penduduk Melayu setempat, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim percaya "satu revolusi" gaya hidup diperlukan bagi mengurangkan gejala penyakit itu dalam kalangan masyarakat Melayu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob: Satu revolusi gaya hidup diperlukan bagi masyarakat Melayu atasi penyakit kencing manis

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim. (Gambar: Facebook/ Yaacob Ibrahim)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 11:10PM Dikemas Kini : 20 Aug 2017 11:12PM

SINGAPURA: Dengan penyakit kencing manis menjejas hampir seperlima penduduk Melayu setempat, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim percaya "satu revolusi" gaya hidup diperlukan bagi mengurangkan gejala penyakit itu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun beliau gembira melihat ramai dalam kalangan golongan muda yang lebih peka tentang kesihatan diri mereka dan membuat pilihan gaya hidup yang lebih sihat.

Amalan sedemikian tambah beliau perlu diperluaskan dan salah satunya adalah menerusi penyediaan makanan yang lebih sihat bukan sahaja di rumah tetapi juga di tempat-tempat makanan.

Dr Yaacob berkata demikian semasa mengulas ucapan Rapat Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (20 Ogos) di mana isu kesihatan, khususnya penyakit kencing manis mendapat sorotan.

Dr Yaacob juga menggesa penduduk supaya menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan mengambil langkah sewajarnya untuk merubah corak kehidupan mereka. Sekalipun perubahan itu tidak ketara, beliau percaya ia dapat membawa perubahan baik dalam jangka panjang.

"Kalaulah kita boleh merubah sedikit sebanyak dari segi kesihatan, senaman dan pemakanan, saya rasa ini akan merubah corak (kehidupan) masyarakat kita dan saya rasa kita boleh berubah. Oleh kerana kalau kita renung kembali sejarah masyarakat Melayu, banyak perubahan yang telah kita jalani, banyak yang telah kita atasi dari segi isu masjid, perumahan dan sebagainya, " ujar beliau.

"Jadi sekarang perubahan gaya hidup diperlukan oleh masyarakat kita. Kita mempunyai keupayaan, kemewahan dan di sinilah kita harus menggunakannya untuk membawa kebaikan bagi masyarakat kita,"tambah Dr Yaacob lagi.

Malah perubahan kepada pemakanan dan gaya hidup lebih sihat sudahpun dimulakan di rumahnya sendiri, kongsi Dr Yaacob.

"Apa yang saya lakukan di rumah dengan isteri saya, kami telah mengubah dari makan nasi putih ke nasi perang. Kami makan lebih banyak sayur sayuran dan lebih penting kami bersenam setiap hari. Saya dan isteri saya mengambil peluang untuk berjalan, tidak semestinya berjam-jam tetapi 20-30 minit dan juga menggunakan alat senaman berbasikal kami di rumah," kata Dr Yaacob.

GUNAKAN TEKNOLOGI BARU BAGI ATASI CABARAN WARGA SENJA

Menyentuh pula mengenai usaha yang boleh dilakukan masyarakat Melayu setempat dalam membangunkan sebuah Negara Bijak, Dr Yaacob yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan berkata "banyak yang boleh dilakukan".

Salah satu bidang yang boleh diterokai adalah dalam sektor perkhidmatan bagi golongan senja. Misalnya, beliau memberi contoh syarikat 'Homage', yang menggunakan IT untuk memadankan golongan penjaga dengan warga senja yang memerlukan sokongan.

"Jadi saya rasa di kalangan masyarakat Melayu kita juga ada golongan warga senja yang memerlukan pertolongan. Bagaimana kita boleh menggunakan IT untuk mewujudkan aplikasi-aplikasi yang baru adalah saya rasa satu cabaran yang baik dan peluang baik untuk kita memulakan bisnes," saran Dr Yaacob.

Beliau menambah: "Sebenarnya IT itu tidak susah tetapi dengan penggunaan IT dalam bidang-bidang tertentu, (ia) akan membawa peluang-peluang yang baik dan saya rasa ada banyak peluang di kalangan kita yang boleh kita raih kalau kita gabungkan IT dengan kerjaya kita." 

Sumber : BERITA Mediacorp/SS/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan