Images
  • Singapore

Dr Yaacob: Pendekatan baru diperlukan bagi bantu pasangan Islam muda tangani cabaran

SINGAPURA: Pendekatan baru serta pemahaman yang lebih mendalam diperlukan bagi membantu pasangan Melayu/ Islam setempat menangani cabaran-cabaran baru yang dihadapi sekarang.

Ini terutamanya bagi pasangan muda yang masih terdedah dengan pelbagai cabaran.

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menekankan demikian semasa ditemui di seminar 'Engaging Hearts & Minds 2015', yang dihadiri para pakar perkahwinan dan keluarga.

Menurut Dr Yaacob Ibrahim, perkahwinan di negara ini secara umumnya kukuh dan sihat. Perkahwinan di kalangan pasangan Islam juga lebih utuh dan berdaya tahan.

Ini kata beliau, hasil daripada usaha bersepadu pihak pemerintah dan beberapa agensi terlibat serta kesedaran yang meningkat di kalangan masyarakat tentang pentingnya institusi perkahwinan.

Lebih banyak agensi juga kini mengadakan kursus-kursus persiapan perkahwinan untuk bakal mempelai.

Dan ini menurutnya, satu petanda baik bahawa masyarakat Melayu/Islam lebih prihatin terhadap usaha memperkukuhkan perkahwinan di sini.

Sungguhpun begitu, pasangan muda dan yang berkahwin semula masih terdedah dengan pelbagai cabaran.

Meskipun tiada satu pendekatan yang dapat menangani masalah mereka sepenuhnya, usaha perlu diteruskan bagi memahami trend-trend baru yang timbul, selain mencari pendekatan yang lebih sesuai untuk menangani cabaran itu.

"Sebagai contoh, kita dapati bahawa mereka yang berumur 20 hingga 25 tahun menghadapi cabaran-cabaran tertentu, apakah lagi yang boleh kita lakukan. Mungkin ada masalah-masalah tertentu yang berkaitan dengan pekerjaan, apakah yang boleh dilakukan oleh kita untuk menentukan kumpulan ini memperkuatkan perkahwinan mereka untuk mereka terus bersatu padu," jelas Dr Yaacob. 

Usaha pencegahan yang bermula dari peringkat masyarakat, kata Dr Yaacob, merupakan satu bidang perlu diberi tumpuan.

Budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan pasangan juga perlu dipupuk sehingga ia menjadi satu kebiasaan.

Ini termasuk mengikuti kursus perkahwinan sebelum dan selepas berumahtangga serta mendapatkan sokongan secara proaktif selepas berkahwin.

Seminar tadi turut menampilkan beberapa pakar dan peserta yang membincangkan pelbagai isu seperti cara menguatkan lagi sokongan bagi keluarga-keluarga yang menghadapi cabaran sosial dan ekonomi yang semakin rumit.

"Bagi kami, yang bekerja rapat dengan keluarga dan pasangan-pasangan seperti ini, ia dapat membantu kami dalam melakarkan program-program dan juga strategi yang lebih sesuai untuk membantu dan menyokong mereka menyelesaikan ataupun menangani isu-isu yang mereka ada dan juga menangani isu-isu yang lebih relevan pada masa kini," kata Pendidik Perkahwinan ProWise Consultancy, Cik Nafisah Md Ma'mun. 

"Juga saya rasa tentang latar belakang ataupun pemikiran keluarga Melayu/Islam yang telah dibentangkan tadi menjawab beberapa soalan untuk kami para kaunselor apabila kami berhadapan dengan keluarga-keluarga yang latar belakang mereka ataupun pandangan mereka yang berdasarkan pada agama dan budaya mereka," ujar Cik Habibah Md Salleh, Kaunselor Kanan, Angkatan Karyawan Islam. 

Seminar ini dianjurkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan disokong Pendaftaran Pernikahan Orang-orang Islam (ROMM), Mahkamah Syariah serta Yayasan MENDAKI. 

- BERITAMediaCorp/ag

Top