Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: IMDA, GTO akan bantu rakyat manfaatkan teknologi

Penyusunan semula IDA dan MDA menjadi entiti-entiti baru akan membawa "masa depan yang menarik" untuk negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Jan 2016 04:18PM Dikemas Kini : 26 Jan 2016 09:23PM

SINGAPURA: Penyusunan semula Penguasa Pembangunan Infokom dan Penguasa Pembangunan Media menjadi dua entiti baru akan memacu daya inovasi dan membantu pemerintah untuk memanfaatkan teknologi bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim di Parlimen hari ini (26 Jan).

Ucapan Dr Yaacob itu juga bertujuan untuk mengembangkan lagi kenyataan tambahan kementeriannya terhadap ucapan Presiden di pembukaan Parlimen ke-13, sambil menggariskan peranan dan tanggungjawab Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan sebuah lagi agensi baru iaitu Pertubuhan Teknologi Pemerintah (GTO).

"Dengan teknologi yang kian berubah-ubah, GTO akan membantu pemerintah untuk memahami dan menggunakan teknologi dengan lebih berani dan berkesan bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik," kata Dr Yaacob.

"GTO akan menawarkan huraian-huraian IT kepada lebih 90 agensi pemerintah, mentadbir piawai ICT (Teknologi Infokom) di kalangan agensi awam dan menyelaraskan pelan induk tiga tahun pemerintah."

Dr Yaacob yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber menambah: "GTO mesti melindungi khidmat digital pemerintah dari ancaman-ancaman siber. GTO juga ditubuhkan bagi menyediakan khidmat IT yang kukuh dan berdaya tahan untuk pemerintah agar kita berada dalam kedudukan yang baik untuk menangkis sebarang serangan siber."

"GTO juga akan menyokong pemerintah dalam transformasi digitalnya, di samping membangunkan bakat kejuruteraan bagi pemerintah. Ia juga akan membantu agensi-agensi awam meningkatkan keupayaan untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah Negara Bijak. Menerusi visi Negara Bijak, kita akan dapat meraih lebih banyak peningkatan dan inisiatif-inisiatif yang akan mendatangkan lebih banyak manfaat kepada rakyat Singapura, sekaligus meningkatkan mutu kehidupan mereka".

'SINGAPURA DI BARISAN DEPAN TEKNOLOGI'

Menerangkan bagaimana IMDA akan menggunakan teknologi untuk memanfaatkan masyarakat dan mencergaskan ekonomi negara, Dr Yaacob berkata ia juga akan digunakan untuk memacu daya inovasi: "Kami akan bekerjasama dengan industri dan masyarakat untuk menghasilkan huraian-huraian yang boleh dikongsi bersama," tambah beliau, sambil merujuk kepada sistem Watson yang digunakan IBM dalam sektor jagaan kesihatan yang membolehkan para doktor untuk berurusan dengan para pesakit tanpa memerlukan kehadiran mereka secara fizikal.

Beliau juga menekankan bahawa "sektor infokom media yang bertenaga" akan menjana "banyak pekerjaan baik yang lebih bermakna", di samping menawarkan prospek pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.

IMDA akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa "untuk meningkatkan keupayaan dan profil bakat tempatan," kata Dr Yaacob yang juga AP GRC Jalan Besar.

Beliau menambah, IMDA dan GTO akan terus mendampingi rakyat untuk sama-sama menghasilkan huraian menerusi wadah-wadah seperti "hackathons".

Menggulung ucapannya Dr Yaacob berkata: "Dengan penubuhan IMDA dan GTO, saya berharap Singapura akan berada di barisan depan teknologi, dengan jabatan-jabatan pemerintah berani menggunakan teknologi bagi ekonomi yang sentiasa berubah demi kebaikan kita bersama menerusi teknologi dan rakyat Singapura pula berasa selesa dan menyambut baik perubahan teknologi ini." 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan