Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob, Amrin Amin ucap tahniah kepada Halimah Yacob

Ucapan tahniah datang mencurah-curah buat bakal Presiden baru Singapura, Cik Halimah Yacob, dengan para Anggota Parlimen (AP) juga tidak terkecuali berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob, Amrin Amin ucap tahniah kepada Halimah Yacob

Bakal Presiden Singapura, Halimah Yacob. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Ucapan tahniah datang mencurah-curah buat bakal Presiden baru Singapura, Cik Halimah Yacob, dengan para Anggota Parlimen (AP) juga tidak terkecuali berbuat demikian.

Dalam catatan di laman Facebook beliau, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Cik Halimah atas jawatan barunya itu.

Menurut Dr Yaacob, Cik Halimah sudah lama berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Cik Halimah juga pernah berkhidmat sebagai peguam kesatuan, AP dan juga Speaker Parlimen dan dikenali sebagai seseorang yang memperjuangkan hak-hak pekerja, wanita, masyarakat Melayu/Islam serta rakyat Singapura tidak kira bangsa dan agama.

"Halimah yang saya kenali begitu komited dengan isu-isu yang mahu diperjuangkan. Saya yakin, dengan semangat dan dedikasi yang bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura, beliau akan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Presiden dengan cemerlang dan penuh wibawa," kata Dr Yaacob.

Selain itu, Dr Yaacob, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Salleh Marican dan Encik Farid Khan kerana tampil dan melahirkan hasrat untuk menjadi calon. Kedua-dua diisytihar tidak layak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dr Yaacob menyeru rakyat Singapura supaya mengetepikan perbezaan pendapat yang tercetus disebabkan Pilihan Raya Presiden kali ini dan mengajak masyarakat supaya bersama-sama menyokong bakal Presiden baru itu sedang beliau memulakan langkah menjalankan tugas membangunkan Singapura yang lebih kukuh.

HALIMAH: PERIBADI MESRA & BIJAKSANA

Setiausaha Parlimen Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin pula merupakan antara AP pertama mengucapkan tahniah kepada Cik Halimah dan menyifatkan tokoh wanita itu sebagai seseorang yang peribadinya mesra dan bijaksana.

Menurut Encik Amrin, meskipun Cik Halimah sering memecahkan siling kaca sepanjang perkhidmatannya, beliau tetap merendah diri, sederhana dan jujur kepada diri sendiri dan wawasannya mengenai sebuah negara yang adil dan saksama.

"Beliau memiliki gabungan ciri-ciri hebat, yang jarang dilihat, iaitu keperibadian yang mesra dan kebijaksana. Selain keupayaan unik, mampu menyesuaikan diri dengan orang lain tidak mengira apa pun latar belakang mereka," kata Encik Amrin.

Encik Amrin turut melahirkan rasa bangga terhadap Encik Farid Khan dan Encik Salleh Marican kerana mempamerkan semangat tinggi mahu memikul tanggungjawab dan berdedikasi kepada masyarakat dan Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan