Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki gesa rakyat ubah pemikiran, tingkatkan kemahiran untuk kekal relevan

Rakyat Singapura akan lebih jauh ketinggalan jika mereka mengambil masa yang lebih lama untuk mempertingkatkan diri bagi mengharungi cabaran ekonomi masa hadapan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Singapura akan lebih jauh ketinggalan jika mereka mengambil masa yang lebih lama untuk mempertingkatkan diri bagi mengharungi cabaran ekonomi masa hadapan.

Maka itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman menggesa rakyat supaya mengubah pemikiran mereka dan terus mempertingkatkan diri untuk kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang kian berubah-ubah.

Bagi membantu rakyat Singapura mencapai matlamat itu kata beliau, pemerintah akan bekerjasama dengan agensi-agensi setempat untuk menganjurkan bengkel-bengkel bagi meningkatkan kesedaran tentang inisiatif dan manfaat SkillsFuture.

PENGLIBATAN ORANG AWAM SEJAUH INI

Tahun lalu, lebih ramai orang menghadiri kursus dan latihan bersubsidi.

SkillsFuture Singapore menyatakan, 418,000 orang menyertainya, iaitu pertambahan 10% berbanding 2015.

Sekalipun memberangsangkan, Dr Maliki berpendapat tahap kesedaran di kalangan warga Singapura masih di paras yang rendah.

Sedang ekonomi Singapura berkembang pesat, penting untuk rakyat bergerak seiring dengan kemajuan negara ini.

Ini juga harus dilakukan dengan secepat mungkin kata beliau.

"UBAH PEMIKIRAN, JANGAN KETINGGALAN"

"Terima hakikat dunia sudah berubah dan akan terus berubah. Jika kita tidak mengubah pemikiran kita, cara kita melihat dunia ini, kita akan ketinggalan.

Lebih lama kita mengambil masa untuk mengubah pemikiran kita, lebih jauh lagi kita akan ketinggalan. Ini adalah sesuatu perkara yang kita tidak ingin berlaku." kata Dr Maliki.

Pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO), beliau menambah, juga boleh melakukan lebih banyak lagi untuk membantu masyarakat.

Contohnya, MMO boleh memanfaatkan hubungan yang terjalin dengan masyarakat untuk mendampingi mereka dan memahami cabaran yang menghambat usaha mempertingkatkan diri.

AGENSI-AGENSI TEMPATAN TURUT BEKERJASAMA

Di peringkat nasional pula, Dr Maliki menambah pemerintah akan berganding bahu dengan agensi-agensi tempatan seperti CDC, SkillsFuture Singapore (SSG) dan Workforce Singapore (WSG) untuk mengadakan bengkel-bengkel bagi meningkatkan kesedaran tentang inisiatif SkillsFuture.

"Kita akan bergabung tenaga untuk mungkin mengadakan bengkel-bengkel yang dapat mendekati rakyat Singapura yang datang dari pelbagai sektor dan usia, pelbagai keperluan supaya kita dapat menerangkan kepada mereka, meningkatkan kesedaran mereka tentang landskap yang baru dan apa yang disediakan, platform yang disediakan pemerintah untuk membantu mereka menyesuaikan diri untuk masa depan, meningkatkan kemahiran mereka." jelas Dr Maliki.

Menurut Dr Maliki juga, matlamat jangka panjang adalah untuk membudayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat sebagai sesuatu yang sebati dengan diri kita dan juga generasi seterusnya.

200 PEKERJAAN DITAWARKAN DI PAMERAN KERJAYA AHAD INI

Sebuah pameran kerjaya oleh kelima-lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) akan diadakan dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang Ahad ini.

Lebih 200 pekerjaan dalam pelbagai sektor akan ditawarkan.

BERITAMediacorp akan berada di sana bagi menyokong inisiatif SkillsFuture.

Pastikan anda jumpa kami di Lifelong Learning Institute pada 15 Oktober ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan