Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Balakrishnan: PBB "penting demi penakatan negara kecil"

Menteri Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bahawa badan dunia itu "penting bagi penakatan dan kemakmuran negara-negara kecil."

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 02:22PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 02:16AM

NEW YORK, PBB: Menteri Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bahawa badan dunia itu "penting bagi penakatan dan kemakmuran negara-negara kecil."

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa negara-negara kecil membentuk lebih separuh daripada negara-negara anggota PBB.

"Kami selalunya menerima keputusan-keputusan dan tindakan kuasa-kuasa besar," kata Menteri Ehwal Luar Singapura itu.

"Mujur, Perhimpunan Agung mengesahkan prinsip bahawa semua negara tidak kira besar atau kecil mempunyai hak yang sama untuk mengambil bahagian dalam membentuk wacana tentang isu-isu global," ujarnya lagi.

Tidak seperti kuasa-kuasa besar, negara-negara kecil "tidak mempunyai pilihan berundur atau keluar daripada sistem itu" ketika masa-masa tidak menentu dan tidak stabil, kata Dr Balakrishnan, merujuk kepada pertumbuhan ekonomi yang lembab, nasionalisme yang meningkat di negara-negara ekonomi besar, serta pengganasan dan wabak Ebola dan Zika.

Beliau mengambil perhatian bahawa tiga elemen adalah penting bagi penakatan dan kemakmuran negara-negara kecil: "Pertama, sistem berbilang pihak yang berdasarkan peraturan, kedua, perkongsian antarabangsa dan kerjasama, dan ketiga, pembangunan yang mampan."

Menarik perhatian bahawa sesetengah cabaran paling hebat yang dihadapi negara-negara - seperti perubahan iklim dan pengganasan - "bersifat rentas sempadan", Dr Balakrishnan menyebut tentang peri pentingnya PBB dan perjanjian Paris tentang perubahan iklim yang berjaya dimuktamadkan pada November 2015.

Dr Balakrishnan menambah bahawa negara-negara kecil seperti Singapura sudah membuat "sumbangan-sumbangan penting" kepada masyarakat antarabangsa dengan mewujudkan konsensus dan mencari huraian bagi isu-isu global yang penting, seperti perubahan iklim.

"Singapura berbangga dapat memainkan peranan kami dengan giat menyertai rundingan-rundingan dan menjadi sebahagian daripada negara-negara yang sejak awal melaksanakan ratifikasi di acara peringkat tinggi itu pada 21 September.

"Negara-negara kecil boleh memainkan peranan lebih besar, sekiranya kami bekerjasama. Negara-negara kecil memerlukan PBB untuk menyediakan rangka kerja bagi membangunkan perkongsian, menggalak pembangunan dan mengusahakan perdamaian dan keselamatan dalam sistem yang berdasarkan peraturan," kata Dr Balakrishnan.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan