Images
  • oxley road
    38 Oxley Road. (Gambar: Howard Law)

DPM Teo: 'Tiada rahsia atau mencurigakan' mengenai jawatankuasa menteri berhubung rumah di Oxley Road

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menubuhkan dan mempengerusikan sebuah jawatankuasa menteri bagi menimbangkan pilihan bagi rumah mendiang Lee Kuan Yew yang terletak di 38 Oxley Road, kata DPM Teo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (17 Jun).

Rumah di Oxley Road itu kini menjadi tumpuan utama dalam perselisihan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan adik beradiknya, dengan PM Lee "sangat prihatin" mengenai bagaimana wasiat bapanya disiapkan, dengan adik lelakinya Encik Lee Hsien Yang mendakwa bahawa "jawatankuasa rahsia" tertumpu hanya kepada "usaha mencabar kesahihan" klausa dalam wasiat tersebut yang menetapkan bahawa rumah di Oxley Road dirobohkan selepas kematian bapa mereka.

"Tiada rahsia atau sesuatu yang mencurigakan mengenai jawatankuasa ini," kata DPM Teo dalam kenyataannya, sambil menambah bahawa ia adalah sebuah jawatankuasa "seperti jawatankuasa lain yang mungkin ditubuhkan Kabinet dari masa ke masa untuk menimbangkan isu-isu tertentu".

DPM Teo turut mendedahkan bahawa jawatankuasa itu terdiri daripada anggota Kabinet yang bertanggungjawab terhadap warisan, isu tanah dan perancangan bandar, seperti Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam, dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

PM Lee sudahpun mengecualikan dirinya daripada semua keputusan Pemerintah mengenai 38 Oxley Road, kata DPM Teo.

"Saya mempengerusikan Kabinet, jika sebarang pertimbangan perlu diambil terhadap hartanah tersebut."

Menurut DPM Teo, Pemerintah bertanggungjawab untuk menimbangkan aspek-aspek kepentingan awam berhubung sebarang hartanah yang penting dari segi warisan dan sejarah, dan ini termasuk 38 Oxley Road.

"Banyak keputusan penting mengenai masa depan Singapura dibuat di sana oleh mendiang dan para pemimpin perintis kita," kata DPM Teo.

"Maka itu, jawatankuasa ini menimbangkan pelbagai pilihan bagi 38 Oxley Road di samping mengambil kira permintaan Encik Lee Kuan Yew bagi rumah ini."

DPM Teo juga menjawab soalan mengenai mengapa sebuah jawatankuasa menteri perlu ditubuhkan jika ia tidak perlu mengambil sebarang keputusan serta merta mengenai rumah di Oxley Road.

Beliau menarik perhatian bahawa anak bongsu mendiang, iaitu Encik Lee Hsien Yang, yang kini memiliki hartanah itu dan wasiat mendiang yang membolehkan anak perempuan mendiang, Dr Lee Wei Ling, untuk menetap di kediaman itu selagi Dr Lee mahu terus berbuat demikian.

Bagaimanpun, jawatankuasa itu perlu menimbangkan pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai rumah tersebut, kata DPM Teo, sambil menambah bahawa ini mungkin mengambil masa.

Beliau turut menyebut beberapa faktor lain: "Pertama, jika Dr Lee memutuskan untuk berpindah daripada rumah itu, satu keputusan mengenai apa yang akan dilakukan terhadap rumah itu perlu diambil kelak."

"Kedua, sejurus selepas pemergian mendiang, Pengamanah wasiat Encik Lee Kuan Yew (Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling) masing-masing mahukan Pemerintah komited kepada permintaan untuk merobohkan rumah itu, meskipun Dr Lee Wei Ling mungkin terus menetap di rumah itu beberapa tahun lagi."

"Ketiga, sesetengah anggota dalam Kabinet, termasuk saya, merasakan adalah berguna jika Pemerintah seterusnya yang membuat keputusan mengenai rumah tersebut mempunyai pelbagai pilihan yang datang daripada para menteri yang pernah membincangkannya dengan Encik Lee Kuan Yew sendiri," kata DPM Teo.

DPM Teo menambah bahawa untuk memahami dengan lebih jelas tentang pemikiran mendiang mengenai rumah itu, jawatankuasa menteri menulis kepada semua anak-anaknya untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Apabila anak-anaknya memberikan pandangan yang berbeza mengenai permintaan ayah mereka, kami meminta mereka memberikan penjelasan. Matlamat jawatankuasa ini berhubung wasiat mendiang Lee Kuan Yew tertumpu kepada permintaan mendiang mengenai rumah tersebut."

PILIHAN BAGI RUMAH DI OXLEY ROAD

Jawatankuasa itu telah menugaskan agensi-agensi relevan untuk mengkaji dan meneliti pelbagai pilihan bagi rumah di Oxley Road, tambah DPM Teo.

"Saya sudah mengongsikan pilihan-pilihan ini dengan anak-anak mendiang," kata beliau. "Sebagai contoh, mereka tahu bahawa saya secara peribadi tidak menyokong dua pilihan yang bercanggah kerana memulihara rumah itu untuk para pengunjung adalah sesuatu yang bercanggah sama sekali dengan permintaan mendiang Encik Lee Kuan Yew dan isterinya, dan satu lagi pilihan pula merobohkan rumah itu dan menjualnya di pasaran bagi kediaman privet baru."

Beliau menambah bahawa jawatankuasa itu juga mengkaji dan meneliti pelbagai pilihan seperti merobohkan rumah itu tetapi mengekalkan bilik makan di bahagian besmen rumah tersebut di mana banyak mesyuarat bersejarah pernah diadakan, dengan sebuah pusat warisan yang sesuai dipertimbangkan.

Kajian ini masih diteruskan, kata DPM Teo.

JAWATANKUASA MENTERI ADA KELEMAHANNYA: LEE HSIEN YANG

Dalam responsnya terhadap kenyataan DPM Teo, Encik Lee Hsien Yang menulis di laman Facebooknya yang mendakwa bahawa beliau dan kakaknya, Dr Lee Wei Ling, sudah berkali-kali meminta maklumat mengenai jawatankuasa tersebut bagi tempoh hampir selama setahun dan "ditolak permintaan itu".

"Adalah jelas jawatankuasa itu adalah di bawah telunjuk seseorang dan tidak harus menjadi pengantara bagi isu yang ada kaitan dengan bosnya. Itulah sebabnya mengapa jawatankuasa ini ada kelemahannya. Di bawah PM, bagaimana mereka dapat menangani perselisihan peribadi seperti ini? Ini bukan forumnya."

Beliau turut menyuarakan keprihatinan mengenai keanggotaan Menteri Shanmugam dan "konflik kepentingan beliau kerana pernah menasihati Lee Kuan Yew dan juga kami mengenai pilihan-pilihan untuk membantu memenuhi permintaan Lee Kuan Yew, dan melakarkan hasrat bagi merobohkan rumah di Oxley Road".

"Ini jelas satu konflik kepentingan."  

- CNA/aw

Top