Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Teo dan isteri akan hadiri upacara perkahwinan diraja Tunku Tun Aminah, Dennis Muhammad

Lawatan DPM Teo itu mencerminkan hubungan mesra dan rapat antara Singapura dan Johor, tambah kenyataan media tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Teo dan isteri akan hadiri upacara perkahwinan diraja Tunku Tun Aminah, Dennis Muhammad

Tunku Tun Aminah membacakan surah lazim al-Quran semasa Majlis Khatam al-Quran di Istana Bukit Serene sebelum majlis perkahwinan diraja esok (14 Ogos). (Gambar: Facebook/ The Royal Johor)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan isteri akan melakukan lawatan ke Johor Bahru esok (14 Ogos) sebagai Wakil Khas Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi majlis perkahwinan diraja Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim.

Demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini.

Menurut MFA, DPM Teo dan isteri akan menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja disusuli Jamuan Diraja.

Lawatan DPM Teo itu mencerminkan hubungan mesra dan rapat antara Singapura dan Johor, tambah kenyataan media tersebut.

Tunku Tun Aminah, anak perempuan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, diijabkabulkan dengan Encik Dennis Muhammad Abdullah.

Istiadat Meletak Kerja dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan Johor sudah diadakan pada 8 Ogos lalu bagi menandakan permulaan istiadat perkahwinan diraja.

Orang awam juga boleh menonton acara perkahwinan itu yang akan ditayangkan secara langsung di skrin gergasi esok di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Baharu yang terletak di ibu negeri berkenaan.

Upacara perkahwinan itu akan diadakan di dalam balai rong seri Istana Besar, namun acara tersebut hanya dibuka kepada tetamu undangan sahaja.

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan