Images
  • diabetes
    Poster mengenai kencing manis.

Doktor NUH mula pantau keadaan pesakit kencing manis yang merokok

SINGAPURA: Para doktor di Hospital Universiti Nasional (NUH) akan memantau keadaan para pesakit kencing manis yang merokok mulai pertengahan tahun ini.

Ia sebahagian daripada program perintis dua tahun bagi menggalak para pesakit berkenaan supaya mengubah gaya hidup untuk mengawal keadaan mereka dengan lebih baik.

Matlamatnya adalah untuk mendampingi 1,500 pesakit kencing manis yang juga menghidapi penyakit-penyakit kronik yang lain.

Sama ada dalam soal makanan ataupun merokok, kebanyakan pesakit kencing manis perlu merubah gaya hidup bagi mengawal keadaan mereka dengan lebih baik.

Namun hakikatnya, sepertiga daripada pesakit kencing manis di negara ini mempunyai pengawalan kurang baik terhadap penyakit mereka.

Para doktor kini meneroka beberapa cara bagi menggalak para pesakit itu supaya lebih menjaga sendiri kesihatan mereka.

Sehubungan dengan itu NUH sedang menimbangkan langkah untuk melaksanakan program Jagaan Tahunan dari Britain.

Di bawah program itu para pesakit perlu menetapkan matlamat tahunan mereka bersama seorang doktor.

Mereka akan mempunyai satu pasukan doktor, jururawat dan ahli farmasi yang sama bagi mengingatkan para pesakit itu tentang matlamat yang hendak dicapai, setiap kali berkunjung ke NUH.

Maklumat penting seperti kadar gula dalam darah dan tabiat merokok pesakit akan dipantau.

Sebagai permulaan, NUH akan bekerjasama dengan klinik penghentian merokok bagi memantau para pesakit kencing manis yang merokok.

Perkara yang sama juga sedang dilakukan Hospital Besar Singapura (SGH).

Para pesakit kencing manisnya akan dirujukkan ke klinik penghentian merokok di SGH.

Separuh daripada mereka didapati tidak lagi merokok selama tiga bulan setelah selesai menjalani program itu.

SGH adalah sebahagian daripada kumpulan jagaan kesihatan SingHealth yang menangani 92,000 pesakit kencing manis.

Antara 10 peratus hingga 11 peratus daripada mereka merupakan perokok tegar.

SingHealth mula memantau kumpulan pesakit seperti itu sejak kira-kira lima tahun lalu.

SGH menyatakan ia juga sedang meninjau cara melanjutkan program menetap matlamat bagi para pesakit kencing manis untuk mengawal tabiat merokok mereka.

Buat masa ini, program itu mengajar para pesakit kencing manis jenis satu cara mengimbangi keperluan insulin dan mengawal jumlah makanan mereka.  

- BERITAMediacorp/im

Top