Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DJ Ria 89.7FM dan Ramli Sarip 'serbu' 150 pelajar Sekolah Menengah Ang Mo Kio

Dalam 'serbuan' tersebut, 150 pelajar diberi perangsang supaya meningkatkan kecintaan mereka kepada Bahasa Melayu, menerusi pendekatan yang seronok dan santai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para DJ radio Ria 89.7FM dan Papa Rock Ramli Sarip melancarkan 'serbuan' ke atas Sekolah Menengah Ang Mo Kio hari ini (20 Jul).

Dalam 'serbuan' tersebut, 150 pelajar diberi perangsang supaya meningkatkan kecintaan mereka kepada Bahasa Melayu, menerusi pendekatan yang seronok dan santai.

Acara tersebut yang diadakan bersempena Bulan Bahasa tahun ini, disokong Majlis Bahasa Melayu Singapura.

MAHU DEKATI PELAJAR, AJAK LESTARI BAHASA MELAYU

Semasa di sekolah itu, Datuk Ramli Sarip mendendangkan lagu lama Melayu yang diiringi dengan petikan gitar, sementara para DJ Ria berkongsi pengalaman dan cabaran mereka sebagai penyiar radio Melayu Singapura.

Pelajar-pelajar pula diberi kesempatan untuk berinteraksi dengan lebih dekat lagi bersama DJ-DJ kegemaran mereka.

Kesemua aktiviti ini adalah sebahagian inisiatif 'Skuad Serbu Sekolah' yang dijalankan petang tadi demi satu tujuan - iaitu melestarikan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan anak muda.

Inisiatif itu dijalankan oleh stesen radio Mediacorp itu bagi mendekati para pelajar sekolah agar meningkatkan kecintaan mereka terhadap Bahasa Melayu.

"Inisiatif ini adalah suatu inisiatif untuk mendekatkan Ria 89.7FM dengan para remaja, juga para belia yang sekarang ini lebih cenderung ke arah Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu sedangkan Bahasa Melayu itu sangat indah," kata Penyiar dan Pemangku Pengarah Rancangan Ria 89.7FM Aura Shai.

"Mudah-mudahan dengan adanya Ria 89.7FM, dengan adanya muzik sebagai Bahasa pengantara, dapat mendekatkan lagi mereka dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang seronok. Pada masa yang sama, kami juga dapat mendekatkan diri kepada para remaja yang jarang sekali kami lihat," Aura Shai memberitahu BERITAMediacorp.

BAHASA MELAYU "AKAR KITA" - PAPA ROCK

Papa Rock Ramli Sarip turut memberi perangsang kepada para pelajar supaya jangan malu bertutur dalam Bahasa Melayu, kerana "itulah akar kita", tegas beliau.

"Kalau kita lihat, tengok dan pandang, Perdana Menteri kita kalau dia bercakap dalam Bahasa Melayu, kadang-kadang orang Melayu pun boleh kalah. Ini suatu inspirasi juga bagi kita. Dan kita harus berbangga kerana itulah akar kita," kata Ramli Sarip.

Pandangan yang sama turut dikongsi DJ Dzar Ismail, yang baru-baru ini dilantik sebagai antara duta terbaru Bulan Bahasa.

Beliau berkongsi pelbagai pendekatan efektif yang mesra Bahasa Melayu bagi para pelajar.

"Kami giat, aktif dalam pelbagai medium. Bukan sahaja menerusi radio. Malahan juga kini, media digital sebab ramai anak-anak muda ini, mereka lebih cenderung terhadap isi kandungan yang lebih dipakejkan dalam bentuk digital media.

"Di situlah cabaran kami sebagai para penyiar untuk mendewasakan dan juga memperbanyakkan lagi isi kandungan berbentuk media digital supaya mereka dapat juga menguasai Bahasa Melayu bukan sahaja menerusi pendengaran radio, malahan ketika mereka melungsuri laman seperti YouTube, di Facebook dan seumpamanya," Dzar Ismail memberitahu BERITAMediacorp.

'Skuad Serbu Sekolah' akan membuat satu lagi serbuan esok (21 Jul), kali ini ke Sekolah Menengah Spectra.

Mereka akan ditemani beberapa personaliti tempatan yang lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan