Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dennis Wee Realty didenda S$66,000 dek gagal beri nasihat wajar risiko labur hartanah luar negara

Agensi hartanah Dennis Wee didenda S$66,000 kerana gagal memberi nasihat sewajarnya kepada para pelabur tentang risiko pembelian hartanah di luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Dennis Wee Realty didenda S$66,000 dek gagal beri nasihat wajar risiko labur hartanah luar negara

Gambar fail tapak binaan. (Gambar: DANIEL LEAL-OLIVIAS/AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2017 05:00PM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 05:03PM

SINGAPURA: Agensi hartanah Dennis Wee didenda S$66,000 kerana gagal memberi nasihat sewajarnya kepada para pelabur tentang risiko pembelian hartanah di luar negara. Para pelabur dikatakan tidak mendapat sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Denda yang dikenakan merupakan jumlah yang terbesar yang pernah dikenakan terhadap sesebuah agensi hartanah kerana gagal mengikut undang-undang berhubung kerja-kerja agensi hartanah yang melibatkan pembelian hartanah di luar negara. Demikian menurut Majlis Agensi Hartanah (CEA) dalam satu kenyataan media hari ini (6 Dis).

Dennis Wee Realty dihadapkan dengan 18 tuduhan, termasuk gagal memberi nasihat tentang risiko dalam pelaburan hartanah di luar negara dan membuat iklan yang memberi gambaran kurang tepat.

Menurut CEA, agensi itu kemudian didapati bersalah bagi enam tuduhan kerana gagal memberi nasihat bertulis kepada para pelabur untuk "membawa perhatian mereka kepada risiko yang dihadapi ketika melabur dalam hartanah luar negara".

Agensi hartanah itu juga tidak dibenarkan melakukan sebarang urus niaga atau memasarkan sebarang hartanah luar negara untuk 12 bulan bermula 24 November tahun ini.

PARA PELABUR TIDAK DAPAT KEUNTUNGAN SEPERTI YANG DIJANJIKAN

Pada 2014, sembilan pelabur membeli 21 unit di dua pembangunan Ibis Budget Hotel yang terletak di Lymm dan Knutsford di Britain melalui agensi hartanah itu. Jumlah yang diserahkan sekitar S$3.5 juta.

Agensi itu mempunyai hak eksklusif untuk menjual hartanah itu di Singapura dan berhak menerima komisyen daripada pihak pemaju projek - iaitu 10 peratus daripada nilai unit-unit yang terjual.

Para pelabur membeli unit-unit tersebut pada harga £94,500 (S$171,000) dan £82,500 (S$150,000) masing-masing bagi setiap projek di Lymm dan Knutsford. Agensi itu kemudian menjanjikan para pelabur keuntungan tertentu.

Ini termasuk pulangan tahunan, antara lapan hingga 12 peratus bagi tiga tahun pertama selepas pembelian. Mereka kemudian dijanjikan peningkatan nilai pelaburan hartanah tersebut antara sembilan hingga 20 peratus lebih tinggi daripada modal asal.

Para pemaju hartanah juga dikatakan menjamin akan membeli balik hartanah berkenaan pada selepas tiga tahun.

Namun, pada awal 2015, Hotel Options, diletakkan di bawah penyeliaan kerajaan Britain.

"Hingga ke hari ini, para pelabur belum dibayar baki bayaran bulanan terjamin yang dijanjikan dan peningkatan nilai modal pelaburan berbanding harga belian seperti yang dijanjikan," dedah CEA.  

Sumber : CNA/AQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan