Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana $21 juta biaya 12 projek kajian mengenai isu jejas masyarakat S'pura

Sebanyak 12 projek kajian yang meneliti isu-isu yang menjejas masyarakat Singapura sudah dipilih untuk menerima pembiayaan dana sebanyak $21 juta dari Majlis Penyelidikan Sains Sosial (SSRC).

Anggaran Waktu Membaca:
Dana $21 juta biaya 12 projek kajian mengenai isu jejas masyarakat S'pura

Orang ramai di kawasan Orchard Road, Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 27 Apr 2017 05:25PM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 05:27PM

SINGAPURA: Sebanyak 12 projek kajian yang meneliti isu-isu yang menjejas masyarakat Singapura sudah dipilih untuk menerima pembiayaan dana sebanyak $21 juta dari Majlis Penyelidikan Sains Sosial (SSRC).

Senarai projek yang merangkumi pelbagai isu itu diumumkan hari ini (27 Apr). Ini termasuk satu kajian yang meneliti bagaimana kanak-kanak prasekolah rakyat Singapura mula membentuk kecenderungan kaum serta pelbagai aspek berkaitan keputusan menabung yang dibuat oleh keluarga. Projek itu akan dapat membantu memperhalusi dasar-dasar CPF sedia ada.

Subjek kajian lain termasuk keluarga berpendapatan rendah, integrasi sosial, daya penghasilan dan inovasi, agama dan sekitaran.

Semua 12 projek, yang dipilih daripada sebanyak 70 saranan, adalah kumpulan pertama yang mendapat pembiayaan dana dari SSRC sejak ia ditubuhkan oleh pemerintah pada bulan Januari tahun lalu untuk memperkukuh kajian dalam bidang sains sosial dan ilmu kemanusiaan di sini.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (MOE) yang bernilai $350 juta untuk mempertingkat kajian dalam bidang-bidang tersebut.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MOE menyatakan 12 projek itu "dipilih atas mutu intelektual dan kesan potensi serta sumbangannya kepada masyarakat dan ekonomi."

MOE menambah kajian sains sosial dan ilmu kemanusiaan membantu mewujudkan "wawasan dan amalan penting yang membolehkan Singapura mengharungi dunia yang semakin rumit dan pesat berubah-ubah."

MOE juga menyatakan pihaknya menerima saranan daripada tujuh institusi - Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura, Institut Teknologi Singapura, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura dan Institut Yusof Ishak -ISEAS.

Salah satu saranan yang diterima dari Institut Yusof Ishak - ISEAS disifatkan sebagai "yang pertama seumpamanya" dan melibatkan tinjauan menyeluruh bagi Kristian kontemporari di Asia Tenggara.

Kajian itu bermatlamat memahami perkembangan agama khususnya di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam dan kesannya ke atas masyarakat berbilang budaya dan agama di Singapura.

Dipimpin oleh Dr Terence Chong zamil kanan Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau di institut itu, projek tersebut menerima dana Jenis A, yang bernilai $100,000 hingga $1 juta bagi tempoh sehingga tiga tahun.

Kategori itu menyokong kajian-kajian berskala kecil dan menggalak penyertaan bagi kajian dalam bidang-bidang strategik yang relevan, menurut MOE.

Satu lagi saranan Jenis A, dari Profesor Madya Universiti Nasional Singapura (NUS) Liu Haoming, menyentuh tentang penduduk Singapura yang kian menua dan bagaimana negara boleh menangani isu tenaga manusia di kalangan warga tua.

Seorang lagi profesor NUS Ivan Png, mahu "mengedepankan pengetahuan saintifik baru" dalam pelbagai bidang dan "membangunkan strategi-strategi yang menjimatkan kos dan boleh dikembangkan untuk meningkatkan daya penghasilan dalam beberapa industri".

Saranan Profesor Png itu diberikan dana Jenis B - $1 juta hingga $10 juta bagi tempoh tiga hingga lima tahun - bagi kajian berskala besar.

Kategori itu menggalak institusi kajian supaya bekerjasama menjalankan lebih banyak kajian silang bidang.

Pengerusi SSRC Peter Ho berkata jumlah saranan yang diterima "menjangkaui jangkaan" dan mutunya juga "mengagumkan".

"Ini satu permulaan yang begitu baik. Saya berharap dalam tempoh beberapa tahun mendatang, kita boleh membangunkan ekosistem kajian sains sosial yang kukuh di Singapura, yang kemudian dapat memainkan peranan dan menangani cabaran-cabaran besar masyarakat pada masa akan datang," kata beliau.

SSRC akan sekali lagi mempelawa institusi-institusi untuk mengemukakan saranan-saranan bagi tahun ini yang dibuka pada 8 Mei dan ditutup pada 28 Julai.

Tema kajian yang keempat "Memahami Masyarakat Era Digital" diadakan sebagai mengiktiraf kesan dan pentingnya teknologi digital baru dan media dalam masyarakat, menurut SSRC.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan