Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB tambah 5 bahan psikoaktif baru dalam senarai dadah terkawal

Biro Narkotik Pusat (CNB) menyenaraikan lima bahan psikoaktif baru yang diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Jenis A.

Anggaran Waktu Membaca:
CNB tambah 5 bahan psikoaktif baru dalam senarai dadah terkawal

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)

Diterbitkan : 28 Apr 2017 10:15PM Dikemas Kini : 28 Apr 2017 10:17PM

SINGAPURA: Biro Narkotik Pusat (CNB) menyenaraikan lima bahan psikoaktif baru yang diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Jenis A.

Ini bermakna ia satu kesalahan jika dadah Jenis A diedarkan, dihasilkan, diimport, dieksport, dimiliki atau digunakan.

Bahan-bahan psikoaktif baru (NPS) membawa kesan sama atau serupa dengan dadah terkawal seperti ganja, kokain, ecstasy, methamphetamine dan heroin.

Empat daripada bahan itu diklasifikasikan semula sebagai Jenis A setelah diletakkan dalam senarai sementara, manakala satu lagi bahan yang biasanya dikenali sebagai U-47700 ditambah ke dalam kategori Jenis A, menurut CNB hari ini (28 Apr).

NPS boleh kekal dalam senarai sementara sehingga 12 bulan, dengan kemungkinan dilanjutkan lagi 12 bulan bagi membolehkan CNB merampas dadah yang disenaraikan itu dan menyekat pengedarannya.

CNB kemudian menjalankan kajian dan mengadakan rundingan dengan industri sebelum bahan-bahan tersebut diklasifikasikan sebagai dadah terkawal.

Mereka yang didapati bersalah mengedarkan dadah terkawal Jenis A boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan lima sebatan rotan.

Terdapat juga hukuman lebih berat bagi mereka yang mengulangi kesalahan atau menjual kepada golongan yang lebih muda atau yang mudah terdedah.

CNB juga akan diberi kuasa untuk meletakkan pesalah NPS di bawah penyeliaan, memasukkan mereka ke pusat pemulihan dadah bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan atau mendakwa mereka di mahkamah, menurut CNB.

Menurut CNB, jumlah NPS sudah melonjak, jenisnya juga semakin banyak dan ia begitu mudah diperolehi di merata dunia.

Ia menambah, bahan-bahan tersebut dilaporkan tidak mempunyai manfaat dari segi perubatan dan penyalahgunaannya dikaitkan dengan kesan sampingan dari segi fizikal dan psikologi seperti paranoia, serangan jantung secara tiba-tiba, khayalan dan juga kematian.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan