Images
  • Club heal

Club HEAL kini punyai lokasi tetap di Pasir Ris

SINGAPURA: Club HEAL kini mempunyai ruang tetap di kawasan timur negara ini, lebih tepat lagi di Pasir Ris.

Pusat itu dirasmikan oleh AP GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari hari ini (23 Jul).

Namun ia sudah beroperasi sejak awal bulan lalu dan sehingga kini ia sudah menerima 150 kes rujukan dari kawasan timur.

Terletak di kolong Blok 148, Pasir Ris Street 13, pusat Club HEAL @ Pasir Ris East menyediakan khidmat dan program bagi membantu para penduduk yang mengalami masalah mental serta penjaga mereka.

"Sebenarnya kami sudah beroperasi di bahagian timur Singapura sejak tahun 2012, tapi sebelum ini pusat-pusat kami beroperasi daripada tempat-tempat yang bersifat sementara dengan ruang yang agak kecil. Tapi dengan adanya pusat baru ini, yang lebih besar dan selesa, ini menggalakkan lebih ramai klien kami untuk datang ke pusat pemulihan kami," Presiden Kelab HEAL Dr Raduah Salim memberitahu BERITAMediacorp.

Club HEAL juga bekerja rapat dengan rakan kongsi masyarakat di kawasan timur.

"Dengan adanya Club HEAL di kawasan Pasir Ris, saya rasa mereka bukan hanya dapat membantu penduduk-penduduk atau orang-orang awam yang mempunyai masalah kesihatan mental tetapi juga boleh membantu sukarelawan akar umbi untuk memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan yang boleh digunakan untuk membantu penduduk-penduduk lain," menurut Encik Zainal.

Majlis pelancaran itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Club HEAL.

Selain kawasan timur, Kelab HEAL juga menjalankan khidmat pemulihan di dua pusat lain di Marsiling dan Bukit Batok East. 

- BERITAMediacorp/nk

Top