Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cinta budaya Melayu disemai di London, Ikan Girl dibawa ke pentas muzik antarabangsa S'pura

Memartabatkan seni dan syair warisan Melayu di pentas muzik antaranbangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Cinta budaya Melayu disemai di London, Ikan Girl dibawa ke pentas muzik antarabangsa S'pura

Pasukan utama di sebalik pementasan Ikan Girl. (Gambar: BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Memartabatkan seni dan syair warisan Melayu di pentas muzik antarangbangsa.

Itulah yang ingin diketengahkan melalui pementasan Ikan Girl yang diilhamkan daripada syair Melayu lama, Bidasari.

Ikan Girl bakal dipentaskan di The Arts House Chamber esok (21 Okt) dan Ahad (23 Okt) sempena Pesta Muzik Antarabangsa Singapura (SIFOM).

Pementasan yang merupakan persembahan berbilang disiplin itu mengetengahkan muzik kontemporari Melayu yang digabungkan dengan tarian Melayu, tarian India Bharanatyam dan tarian kontemporari.

Pasukan utama di sebalik pementasan Ikan Girl. (Gambar: BERITAMediacorp)

Dari kiri: Nabillah Jalal, Muhammad Noramin Mohamed Farid, Syafiqah ‘Adha Sallehin dan Mohamad Shaifulbahri Sawaluddin. 

IKAN GIRL SATU-SATUNYA PUNYAI UNSUR MELAYU

Malah Ikan Girl merupakan satu-satunya persembahan yang mempunyai unsur kemelayuan dari segi muzik dan tarian di sebalik persembahan-persembahan muzik klasikal dan kontemporari di festival muzik yang diadakan untuk tahun kedua.

“Kita ingin mengambil cerita rakyat yang tidak dikenali ramai iaitu, Syair Bidasari untuk dijadikan cerita Ikan Girl ini. Dengan tajuk Ikan Girl, ia menunjukkan bahawa pementasan ini bukan sahaja untuk masyarakat Melayu kita tetapi juga untuk penonton-penonton bukan Melayu,” menurut Penerbit Ikan Girl, Encik Mohamad Shaifulbahri Sawaluddin.

Tambah komposer dan pengarah muzik bersama Ikan Girl, Cik Syafiqah ‘Adha Sallehin, persembahan itu juga merupakan peluang untuk menarik penonton Melayu supaya berjinak-jinak dengan festival muzik yang bertaraf antarabangsa.

Cik Syafiqah, yang juga merupakan pemain orkodian Ikan Girl, juga dilantik sebagai Artis-in-Residence pertama SIFOM.

“Ini merupakan kali pertama saya dilantik sebagai Artist in Residence – satu penghormatan yang terbesar buat diri saya. Ini menjadi merupakan peluang untuk saya menunjukkan bakat saya dan kebolehan saya dalam bidang muzik,” kata Cik Syafiqah.

PELUANG EMAS TONJOL KARYA MELAYU DI FESTIVAL ANTARABANGSA

Bagi pengarah kreatif pementasan itu, Encik Muhammad Noramin Mohamed Farid, SIFOM merupakan ruang bagi penggiat seni tari dan muzik untuk mengetengahkan karya Melayu di sebuah festival antarangsa.

“Walaupun sekian lama kita sudah berjuang, baik seni tari atau seni muzik atau seni puisi, tetapi kita belum dapat bekerjasama dan menonjolkan karya tersebut ke festival antarbangsa seperti SIFOM. Saya merasakan ini adalah peluang emas untuk kita sama-sama yang muda memperjuangkan dengan cara kita sendiri,” jelas Encik Muhammad Noramin yang baru menerima biasiswa Kepujian Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong (GCTYPA) dan bakal memburu ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Royal Holloway London tahun depan.

Encik Noramin bakal melakukan kajian berkaitan perkembangan tarian Melayu di Singapura.

Malah Encik Noramin, Encik Shaifulbahri, Cik Syafiqah dan Cik Nabillah Jalal, yang merupakan pengarah muzik bersama dan pemain piano Ikan Girl, merupakan para penerima biasiswa GCTYPA.

Encik Shaifulbahri menerima biasiswa Kepujian GCTYPA tahun lalu untuk sarjana Penerbitan Kreatif di Royal School of Speech and Drama di United Kingdom.

Cik Syafiqah pula merupakan penerima biasiswa merit GCTYPA pada 2010 untuk pengajian peringkat sarjananya di Sekolah Konservatori Muzik Yong Siew Toh di NUS.

Beliau merupakan anak Melayu pertama yang menuntut di NUS, sama seperti Cik Nabillah yang merupakan anak Melayu pertama yang mendapat tempat di sekolah berprestij, Royal College of Muzik di London dan merupakan penerima biasiswa Kepujian GCTYPA.

MINAT DALAMI BUDAYA MELAYU TERCETUS DI LONDON

Minat Cik Nabillah untuk mendalami budaya Melayu semakin mendalam sewaktu beliau menuntut di London sehingga mendorong beliau untuk melakukan kajian dalam muzik tradisional Melayu dari era 60an dan yang pertama melakukan tesis sedemikian di sekolahnya.

“Bila saya berada di sana saya terdedah kepada budaya-budaya yang lain. Jadi saya tanya diri saya, apa yang saya tahu tentang Melayu, apakah yang menjadikan saya Melayu, apakah muzik tradisional Melayu. Dan saya tidak dapat jawapan yang memuaskan. Saya rujuk pada buku-buku dan sedar bahawa tidak banyak buku-buku yang muzik tradisional Melayu. Ilmu tentang muzik tradisional Melayu ini sering disampaikan dari mulut ke mulut dan tidak ramai yang mendokumentasikannya. Jadi saya berharap dengan saya mendokumentasikannya, generasi akan datang akan tahu dengan lebih mendalam tentang budaya kita yang menarik ini,” terang Cik Nabilah.

London juga menyulam cinta yang lebih mendalam bagi Encik Shaifulbahri untuk mengetengahkan seni dan budaya Melayu.

Walaupun perjalanan seninya adalah dalam teater Inggeris, ilham untuk mengetengahkan seni tarian dan pementasan Melayu ke pentas seni antarabangsa terbit ketika berada di London.

“Siapa lagi duta yang paling kenali seni Melayu kalau tak orang Melayu kita sendiri dan boleh membawa seni tarian Melayu atau pementasan Melayu ke sidang antarabangsa. Jadi saya menjadi lebih bersemangat untuk mementaskan Bhumi di Pesta Edinburgh Fringe untuk mencari lebih peluang untuk membawa seni pementasan Melayu ke sidang antarabangsa,” jelas Encik Shaifulbahri.

Bersama dengan tiga lagi pelajar Singapura di London, Encik Shaifulbahri berkolaborasi dengan Cik Nabillah dan Encik Amin untuk mementaskan Bhumi Ogos lalu di Pesta Pinggiran Edinburgh, antara pesta seni terbesar dunia.

BHUMI SATUKAN TARIAN, MUZIK MELAYU DENGAN UNSUR KONTEMPORARI

Bhumi menyatukan tarian dan muzik tradisional Melayu bersama unsur kontemporari untuk meneroka konsep identiti dalam persekitaran berbilang budaya dan negara.

Dipentas Pesta Pinggiran Edinburgh itulah mereka mendapat jemputan untuk mementaskan Ikan Girl di SIFOM.

Ikan Girl akan dipentaskan di The Arts House at Old Parliament Building pada Jumaat, 21 Oktober 2016 dan Ahad, 23 Oktober 2016 pada pukul 7.30 malam.

Tiket-tiket berharga $36 (tidak termasuk bayaran tempahan $4) boleh didapatkan di SISTIC.

Tiga puluh pelajar pertama yang menunjukkan pas pelajar mereka di The Arts House boleh menikmati diskaun tiket 50 peratus untuk persembahan pada Jumaat, 21 Oktober.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan