Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CEO Mediacorp Shaun Seow lepaskan jawatan, usaha mencari pengganti sudah dimulakan

CEO Mediacorp Shaun Seow akan meninggalkan syarikat itu pada lewat tahun ini untuk menyertai Temasek dan menyandang jawatan pengarah urusan dalam sektor pelaburan Telekom, Media dan Teknologi syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
CEO Mediacorp Shaun Seow lepaskan jawatan, usaha mencari pengganti sudah dimulakan
Diterbitkan : 28 Apr 2017 06:44PM Dikemas Kini : 28 Apr 2017 08:10PM

SINGAPURA: CEO Mediacorp Shaun Seow akan meninggalkan syarikat itu pada lewat tahun ini untuk menyertai Temasek dan menyandang jawatan pengarah urusan dalam sektor pelaburan Telekom, Media dan Teknologi syarikat itu.

Mediacorp hari ini (28 Apr) mengumumkan bahawa lembaganya sudah mula mencari pengganti Encik Seow.

Buat masa ini, Encik Seow akan meneruskan tugasnya sebagai CEO dan membantu dalam proses peralihan itu sehingga 30 September 2017.

Encik Seow dilantik sebagai CEO Mediacorp pada Julai 2011 setelah memegang pelbagai jawatan dan peranan kepimpinan dalam televisyen, radio, media cetak dan digital syarikat itu.

Beliau juga sebahagian daripada pasukan yang melancarkan saluran Channel NewsAsia pada tahun 1999.

Sebagai CEO, Encik Seow menyusun semula Mediacorp di tengah-tengah landskap pengiklanan yang beralih ke wadah digital.

Beliau menerajui pelancaran dan merangsang pertumbuhan Toggle dan konsep yang mengutamakan wadah digital di Mediacorp, menumpukan perhatian kepada usaha mempertingkat pengalaman pengguna dan memanfaatkan media sosial untuk mendampingi lebih ramai penonton.

Di bawah kepimpinan beliau, Kumpulan Digital Mediacorp ditubuhkan untuk terus menjana jumlah penonton yang lebih tinggi dan daya pemasaran yang menguntungkan Mediacorp.

Sebuah unit tinjauan dan analitik pengguna juga ditubuhkan untuk membantu membuat keputusan yang bersandarkan data dalam penghasilan produk yang dapat terus mempertingkat pendapatan syarikat.

Di luar Singapura, Mediacorp turut membuat pelaburan dalam syarikat digital di Indonesia, di mana penggunaannya meningkat dengan mendadak.

Encik Seow berkata: "Ini pengalaman yang menyeronokkan dan saya berterima kasih atas semua peluang yang diberikan kepada saya, termasuk menyandang jawatan sebagai CEO. Dengan selesainya proses pemindahan ke kampus baru Mediacorp, rumah baru di Mediapolis serta semakan besar-besaran terhadap perniagaan syarikat tahun ini, Mediacorp akan memulakan satu lembaran baru.

"Saya tahu, Mediacorp akan dijaga dengan baik di bawah kepimpinan Pengerusi Ernest Wong, seorang yang amat saya hormati. Saya akan merindui rakan-rakan sekerja yang berbakat dan saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas komitmen teguh mereka dalam menjalankan tugas. Meskipun demikian, saya tidak berada terlalu jauh apabila bertugas di Temasek. Saya juga akan membuka lembaran baru dan saya tidak sabar untuk memulakannya."

Mediacorp adalah sebahagian daripada syarikat portfolio pelaburan Telekom, Media & Teknologi Temasek.

Mengucapkan terima kasih kepada Encik Seow, Pengerusi Mediacorp, Ernest Wong berkata: "Shaun seorang yang begitu bertenaga dan memberikan sepenuh dedikasi kepada tugasnya. Beliau banyak menyumbang dan kepimpinan sepanjang tempoh khidmat selama bertahun-tahun di Mediacorp amat terpuji. Sepanjang penggal sebagai CEO, beliau juga menerajui usaha kami untuk memasuki era media digital.

"Beliau akan diingati atas kejayaan memulakan Toggle dan inovasi serta inisitaif digital yang lain. Saya yakin kami akan terus memanfaatkan pengetahuan mendalam beliau dalam perniagaan Media & Hiburan. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya di Temasek.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan