Images
  • first folio
    Salinan buku 'First Folio' oleh William Shakespeare, yang diterbitkan 400 tahun lalu, dan kini dipamerkan di Perpustakaan Negara Singapura. (Gambar: Perpustakaan Negara)

Buku Shakespeare berusia 400 tahun dipamer di S'pura buat pertama kali

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, sebuah buku karya sasterawan agung William Shakespeare yang berusia 400 tahun, akan dipamerkan di Singapura.

Bulan ini, Perpustakaan Negara akan mempamerkan salinan buku 'First Folio', iaitu antologi pertama yang mengumpulkan karya-karya pementasan penulis drama legenda itu.

Sekitar 750 salinan buku itu dipercayai dicetak pada 1623, namun hanya 230 masih lagi bertahan sehingga hari ini, dan banyak buku-buku tersebut kini disimpan dalam koleksi-koleksi privet.

Buku tersebut, yang dipinjamkan dari Perpustakaan-Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford, akan dipamerkan di galeri tingkat 10 Perpustakaan Negara di Singapura sehingga 23 April, yang kebetulan dipercayai adalah tarikh kematian Shakespeare. Tahun lalu merupakan ulang tahun kematiannya yang ke-400.

Meskipun orang ramai tidak dibenarkan menyentuh buku setebal 950 halaman yang dibalut dengan kulit itu, para pengunjung boleh membaca versi digital buku tersebut menerusi dua tablet.

Salinan-salinan buku berkenaan juga boleh dimuat naik di http://firstfolio.bodleian.ox.ac.uk.

Perpustakaan Negara akan mengadakan ceramah awam tentang 'First Folio' oleh pakar-pakar Shakespeare dari Britain pada 26 Mac.

"Ramai warga Singapura, terutama pelajar, mungkin pernah membaca karya-karyanya di sekolah, jadi ini peluang yang baik untuk mereka melihat sendiri artifak kesusteraan yang penting," kata penolong kurator Perpustakaan Negara, Georgina Wong.

Menariknya, banyak salinan 'First Folio' yang masih bertahan ditemui di Jepun. Untuk menggariskan tentang kaitan Shakespeare dengan Asia, pameran perpustakaan tersebut juga akan menyebut tentang contoh-contoh bagaimana pementasan-pementasan Shakespeare diadaptasi, termasuk versi mak yong 'A Midsummer Night's Dream', dan karya adaptasi pengarah Singapura Ong Keng Sen bagi karya King Lear. 

- CNA/nd

Top