Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buat pertama kali, 2 karya sastera S'pura raih Hadiah Sastera Mastera

Buat pertama kali, dua karya sastera yang dicalonkan Singapura berjaya menerima pengiktirafan berprestij dan bertaraf rantau, Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) ke-8, malam tadi (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Buat pertama kali, 2 karya sastera S'pura raih Hadiah Sastera Mastera

Encik Johar Buang (kiri) dan Dr Azhar Ibrahim Alwee menerima Hadiah Sastera Mastera. (Gambar: MBMS)

SINGAPURA: Buat pertama kali, dua karya sastera yang dicalonkan Singapura berjaya menerima pengiktirafan berprestij dan bertaraf rantau, Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) ke-8, malam tadi (27 Sep).

Kedua-dua karya Singapura tersebut adalah 'Pasar Diri' oleh Johar Buang dalam kategori kreatif, dan 'Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi' oleh Dr Azhar Ibrahim Alwee dalam kategori bukan kreatif, menurut satu kenyataan.

Hadiah Sastera Mastera diberikan kepada karya kreatif dan bukan kreatif terbaik yang diterbitkan secara perseorangan daripada negara-negara Mastera yang diterbitkan dalam bentuk buku.

Karya yang dinilai ialah karya yang diterbitkan selepas Januari 2012 sehingga Disember 2015. Negara-negara anggota Mastera adalah Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Anugerah-anugerah itu disampaikan dalam majlis jamuan malam bersempena Sidang ke-22 Mastera di Dewan Bankuet Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemenang Hadiah Sastera Mastera itu masing-masing menerima wang tunai RM10,000 (S$3,290) dan sijil penghargaan, menurut kenyataan itu lagi.

"PENGIKTIRAFAN PAMERKAN MUTU KARYA DI PERINGKAT ANTARABANGSA"

Pengiktirafan karya-karya Singapura di peringkat rantau mempamerkan kualiti karya-karya sastera tempatan yang tinggi nilainya, bukan sahaja di peringkat Asia bahkan di peringkat antarabangsa, kata pengerusi Panel Pemilihan Hadiah Sastera Mastera ke-8 untuk Singapura, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Kedua-dua karya yang dipilih berupaya mengetengahkan pemikiran dan nilai sastera yang tinggi. Saya berasa bangga karya Encik Johar Buang dan Dr Azhar Ibrahim diberikan pengiktirafan tersebut, dan berharap kejayaan ini akan memberikan dorongan kepada para sasterawan negara untuk terus menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi setanding dengan sastera dunia," kata Dr Faishal, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Ketua Mastera Singapura, Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat pula berkata sejak Singapura menyertai Mastera sebagai pemerhati pada pertengahan 1990-an sehingga menjadi anggota pada 2012, negara ini diberi banyak peluang untuk mengedepankan sastera Singapura kepada para pembaca di luar negara.

"Melalui pelibatan Singapura dalam Mastera secara langsung, kita berpeluang membawa karya-karya kita agar dapat dinikmati para pecinta sastera di peringkat rantau," ujarnya.

(Gambar-gambar: MBMS)

ANUGERAH MASTERA LAIN YANG DIRAIH SASTERAWAN S'PURA

Selain Hadiah Sastera Mastera yang diberikan oleh Mastera Malaysia tahun ini, anugerah Mastera yang lain yang pernah diterima oleh sasterawan Singapura termasuklah Penghargaan Sasterawan Muda Mastera yang diberikan kepada Cik Noor Hasnah Adam di Indonesia pada 2013, serta Anugerah Sastera Mastera bagi Encik Suratman Markasan pada 2014 di Brunei Darussalam.

Hadiah Sastera Mastera bertujuan mengenal pasti karya-karya sastera asli pelbagai genre yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia, atau yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu/Indonesia di negara-negara rantau Asia yang menjadi anggota Mastera; serta memberikan pengiktirafan bertaraf rantau kepada karya-karya bermutu.

HADIAH MASTERA DIBERI BAGI KARYA KREATIF, BUKAN KREATIF

Dua jenis Hadiah Sastera Mastera diberikan, termasuk bagi karya sastera kreatif (bernilai RM 10,000) yang diperuntukkan bagi karya daripada genre kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel dan drama pentas/kumpulan drama pentas.

Hadiah bagi karya bukan kreatif (juga bernilai RM10,000) pula diperuntukkan kepada karya daripada kajian sastera (ilmiah) dan kumpulan esei/kritikan Sastera.

Jawatankuasa Pemilihan Hadiah Sastera Mastera (Singapura) untuk karya-karya Singapura terdiri daripada:

- Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim
- Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat
- Cikgu Suratman Markasan, Penerima Pingat Budaya & Anugerah Tun Seri Lanang
- Dr Sa’eda Buang, Ketua Panel Penilai, Anugerah Persuratan
- Encik Tajudin Jaffar, Setiausaha, MBMS
- Encik Juffri Supaat, Timbalan Setiausaha, MBMS

Mastera ditubuhkan pada 1995 untuk kerjasama negara-negara anggota Mastera bagi membangunkan Kesusasteraan Melayu di rantau ini. Singapura menjadi anggota Mastera pada tahun 2012 dan sudah menganjurkan Sidang dan Seminar Mastera pada tahun lalu ketika Singapura menyambut SG50. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan