Images
  • mendaki sense

Bilangan PMET cari kerja lonjak 64% tahun ini - Mendaki SENSE

SINGAPURA: Jumlah mereka yang mendapatkan bantuan mencari pekerjaan di Mendaki SENSE bagi enam bulan pertama tahun ini lebih tinggi berbanding keseluruhan tahun lalu.

Malah, jumlah golongan PMET melonjak 64% bagi tempoh yang sama.

Mendaki SENSE menyatakan walaupun ini menandakan keadaan ekonomi yang merudum, ia juga mencerminkan tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan masyarakat Melayu/Islam tentang pentingnya mempertingkatkan diri.

KISAH IBU TUNGGAL TINGKATKAN KEMAHIRAN

Selepas kematian suaminya pada 2010, Maryanah Sayas menyedari sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik kerana kemahirannya yang terhad dan juga atas faktor usia.

"Setiap kali saya pergi temu duga, alasannya adalah kerana saya sudah lebih 50 tahun. Saya tidak dapat pekerjaan itu." kongsi Cik Maryanah Sayas, seorang peserta Mendaki SENSE.

Lantas, ibu tunggal empat orang anak ini bertekad untuk mempertingkat diri dengan kursus-kursus kemahiran diri di Mendaki SENSE.

PERMINTAAN PROGRAM MENDAKI SENSE

Tahun lalu, sekitar 1,860 orang mendapatkan bantuan Mendaki SENSE untuk mempertingkatkan diri dan mencari pekerjaan.

Namun pada setengah tahun pertama tahun ini sahaja, jumlahnya melonjak naik kepada sekitar 1,880.

80% daripada mereka merupakan pekerja Melayu.

"Ekonomi memang sudah merosot dan orang lebih peka tentang keadaan ekonomi dan mungkin sudah kehilangan pekerjaan. Oleh itu, mereka baru sedar dan perlu mencari pekerjaan dan latihan," jelas Encik Mohd Faiz Selamat, seorang pengarah eksekutif Mendaki SENSE.

USAHA AKAN TERUS DIPERLUAS

Beliau menambah, cabarannya kini untuk meningkatkan lagi kesedaran para pekerja Melayu tentang pentingnya mempertingkat diri dan tampil menjalani latihan.

"Kita sudah mula melakukan pendekatan melalui masjid-masjid dan juga beberapa kumpulan. Tetapi lebih kepada 2018, di mana kita akan lakukan secara strategik, bagaimana kita boleh berinteraksi dengan kelompok-kelompok dan pusat-pusat yang bukan tradisional supaya kita lebih akrab, lebih dekat dan lebih memahami masalah-masalah mereka," tambah Encik Faiz.

NAIK PANGKAT SETELAH JALANI PELBAGAI KURSUS

Bagi Cik Maryanah, selepas menjalani pelbagai kursus di Mendaki SENSE seperti kemahiran kepimpinan, kecemerlangan khidmat dan komputer, beliau yang dahulunya seorang pembantu pustakawan kini dinaikkan pangkat sebagai penolong pengurus.

"Selepas saya mengikuti kursus yang pertama dari Mendaki SENSE dan saya terus ditawarkan pekerjaan. Dari situ, saya yakin dengan mengikuti kursus di Mendaki SENSE ini, kita boleh mendapat pekerjaan dan boleh meningkatkan diri kita," kata Cik Maryanah.

400 PEKERJAAN DITAWARKAN MINGGU INI

Namun, dalam usaha mempertingkat diri, Mendaki SENSE menasihatkan orang ramai supaya bersikap lebih terbuka dalam mengimbangi jangkaan mereka dengan realiti pasaran pekerjaan yang tidak menentu.

Bagi anda yang ingin mencari kerja atau meningkatkan kemahiran, sebuah pameran kerjaya oleh kelima-lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) akan diadakan dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang Ahad ini.

Hampir 400 pekerjaan dalam pelbagai sektor akan ditawarkan.

BERITAMediacorp akan berada di sana bagi menyokong inisiatif SkillsFuture.

Pastikan anda jumpa kami di Lifelong Learning Institute pada 15 Oktober ini. 

- BERITAMediacorp/NF/aq

Top