Images
  • vivian blakrishnan
    Gambar fail Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan. (Gambar: Goh Chiew Tong)

Bersahabat dan usah bermusuhan, tapi jangan jejas kepentingan negara - Dr Balakrishnan

SINGAPURA: Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata negara ini mesti kembali kepada prinsip-prinsip dasar luar yang bertujuan melindungi kemerdekaan dan kedaulatannya serta meluaskan peluang-peluang bagi rakyatnya.

Beliau berkata demikian selepas perdebatan baru-baru ini mengenai peranan negara-negara kecil seperti Singapura dalam arena politik sejagat.

Bercakap di perbincangan santai atau "town hall" di Kementerian Luar, Dr Balakrishnan menggariskan beberapa prinsip utama bagi Singapura menyatakan pendapat dengan berani apabila perlu, meskipun saiznya yang kecil.

Salah satu prinsip itu adalah bersahabat dengan semua pihak dan tidak bermusuhan dengan sesiapapun.

Dr Balakrishnan berkata: "Ini terutama sekali dengan jiran-jiran terdekat kita di mana keamanan dan kemantapan mereka sangat penting. Singapura sebagai salah satu anggota pengasas ASEAN terus gigih memperjuangkan perpaduan ASEAN.

"Dengan kuasa-kuasa besar dan kuasa-kuasa serantau yang lain, matlamat Singapura adalah untuk meluaskan hubungan kita dalam bidang politik dan ekonomi agar kita kekal relevan kepada mereka dan mereka mendapati kejayaan kita penting untuk mereka."

Dr Balakrishnan selanjutnya berkata meskipun Singapura berusaha sedaya upaya untuk membangunkan rangkaian hubungan yang luas, hubungan-hubungan itu mestipun berlandaskan sikap hormat menghormati terhadap kedaulatan satu sama lain serta layanan sama rata bagi setiap negara tanpa mengira saiznya.

Diplomasi, jelasnya, bukan mengenai menjalin hubungan persahabatan tanpa batasnya.

Sebaliknya, ia mengenai memupuk hubungan persahabatan sebagai satu cara untuk melindungi dan memajukan kepentingan utama kita. 

- CNA/im

Top