Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beribu-ribu kunjungi pameran mengenai Lee Kuan Yew

Beribu-ribu warga Singapura membanjiri Muzium Negara hari ini, untuk mengunjungi pameran berjudul 'In Memoriam: Lee Kuan Yew Exhibition'.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Apr 2015 10:49PM Dikemas Kini : 04 Apr 2015 08:32PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau amat gembira setelah mendapat tahu ramai yang mengunjungi pameran mengenai ayahnya, mendiang Encik Lee Kuan Yew, di Muzium Negara.

Lebih 22,800 orang sudah berkunjung ke pameran berjudul 'In Memoriam: Lee Kuan Yew Exhibition' itu, sejak ia dibuka kepada orang ramai pada 25 Mac. 

Barang-barang yang dipamerkan termasuk beg merah Encik Lee yang beliau gunakan sebagai beg bimbit dan barang-barang milik beliau, termasuk rambut palsu yang dipakai peguam dalam mahkamah, dan jam tangan Rolex Oyster Perpetual.

KISAH DI SEBALIK BEG MERAH LEE KUAN YEW

Menulis di laman Instagramnya pada hari Sabtu (4 April), PM Lee menceritakan bahawa beg merah itu memainkan peranan penting dalam rutin seharian mendiang ayahnya.

"Setiap hari, beliau pulang ke rumah dengan membawa beg merah itu, yang dipenuhi dengan kertas-kertas kerja, draf dan fail.

"Selepas makan malam, beliau akan menyiapkan kerja-kerja beliau, dan meletakkan beg itu di luar biliknya sebelum tidur.

"Pada keesokan paginya, pegawai-pegawai keselamatannya akan membawa beg itu kembali ke pejabatnya sebelum beliau bangun tidur. Ini supaya para kakitangannya dapat bersiap sedia sebelum ayah saya masuk kerja," ujar PM Lee.

Inilah beg merah milik Lee Kuan Yew, yang walaupun kelihatan usang dan lapuk dimamah usia, namun amat berguna kepada mendiang. (Gambar: MCI/ Terence Tan)

(Inilah beg merah milik Lee Kuan Yew, yang walaupun kelihatan usang dan lapuk dimamah usia, namun amat berguna kepada mendiang. Gambar: MCI)

RAKAM ARAHAN DALAM PITA KASET

Mendiang Encik Lee menggunakan beg merah tersebut untuk membawa dokumen-dokumen penting serta pita-pita kaset yang merakamkan arahan-arahan beliau.

Para setiausaha mendiang akan mentranskripsikan rakaman pita-pita kaset tersebut, dan Menteri Pendidikan Heng Swee Keat, yang merupakan ketua setiausaha privet mendiang dari 1997 hingga 2000, akan memastikan agar arahan-arahannya itu dilaksanakan sepenuhnya.

Beg itu digunakan oleh mendiang Encik Lee, sehinggalah beliau dimasukkan ke hospital pada 4 Februari lalu.

KISAH DI SEBALIK BARANGAN MILIK MENDIANG LEE

Menulis di Facebooknya pula, PM Lee menceritakan kisah di sebalik beberapa barangan milik ayahnya yang dipamerkan. Menurut beliau, rambut palsu yang dipakai peguam dalam mahkamah diperbuat daripada bulu kuda diberikan kepada mendiang Encik Lee setelah beliau diterima menjadi peguam.

(TODAY)

Jam tangan Rolex Oyster Perpetual milik ayahnya pula diberikan kepada mendiang Encik Lee oleh Kesatuan Pekerja Pos dan Telekomunikasi Singapura selepas beliau mewakili kesatuan itu sebagai peguam semasa mogok posmen dilancarkan pada 1952.

PM Lee menambah beliau turut menikmati pameran mengenai ayahnya itu semasa mengunjunginya beberapa hari lalu. 

Pameran mengenai mendiang Encik Lee akan diadakan sehingga 26 April ini. Barangan-barangan peribadi mendiang Encik Lee itu akan diletakkan di Galeri Tetap Muzium Negara dan dipamerkan lagi dari Ogos atau September.

BERIBU-RIBU KUNJUNGI PAMERAN

Sementara itu, beribu-ribu warga Singapura membanjiri Muzium Negara pada hari Jumaat (3 April), untuk mengunjungi pameran berjudul 'In Memoriam: Lee Kuan Yew Exhibition'.

Walaupun pameran itu dibuka dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, jumlah pengunjung yang sangat ramai dan barisan-barisan beratur yang memanjang, memaksa muzium itu untuk berhenti menerima pengunjung 4 jam lebih awal.

Sehingga 6.00 petang pada hari Jumaat, lebih 5,500 pengunjung sudah melawat pameran tersebut.

Muzium Negara menyatakan pihaknya akan cuba memastikan semua pengunjung dapat melawat pameran itu. Bagaimanapun, orang ramai dijangka perlu beratur panjang, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Lawrence Wong berkata, sambutan yang amat baik itu tidak dijangka, meskipun beg merah Encik Lee itu mungkin antara penyebabnya.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan