Images
  • bengkel orkid
    Para peserta bengkel orkid yang dianjurkan di Masjid Yusof Ishak. (Gambar: BERITAMediacorp)

Bengkel orkid pertama di Masjid Yusof Ishak, lestarikan cinta Allahyarham Yusof Ishak pada orkid

BERITAMediacorp: Seperti sebuah kebun bunga yang berwarna-warni, begitulah suasana di Masjid Yusof Ishak hari ini.

Ia bersempena satu bengkel yang menghimpunkan masyarakat Singapura daripada pelbagai kaum dan agama di bawah satu bumbung, dengan minat yang sama - iaitu cinta mereka kepada bunga orkid.

ALLAHYARHAM YUSOF ISHAK DAN PUAN NOOR AISYAH, PENCINTA ORKID

Acara yang julung-julung kalinya diadakan di Masjid Yusof Ishak ini sebagai memperingati semangat dan perwatakan Presiden pertama Singapura Encik Yusof Ishak yang gemarkan bunga orkid.

Mentelah lagi ia diadakan bersempena Hari Kebangsaan Singapura ke-52.

Isteri Allahyarham, Puan Noor Aishah, turut tidak mahu ketinggalan mengikuti bengkel bersama 70 peserta lain.


Ia dianjurkan Kelab Green Circle Masjid Yusof Ishak dengan kerjasama Lembaga Taman Negara (NPARKS), Community in Bloom dan Persatuan Orkid di Asia Tenggara (OSSEA).

TIPS JAGA ORKID

Para peserta mendapat panduan daripada NPARKS tentang cara menjaga orkid.

Mereka juga berpeluang menimba pengetahuan daripada Dr John Elliot, Naib Presiden (OSSEA) tentang pelbagai jenis Orkid Warisan Singapura dan sedikit sebanyak sejarah mengenainya.

Puan Noor Aishah yang ditemui oleh pihak BERITAMediacorp berkongsi minat Allahyarham suaminya, Presiden Yusof Ishak, terhadap bunga orkid.

"Alhamdulillah, saya rasa gembira melihat semua orang yang minat kepada orkid datang bersama, acara seperti ini mereka yang tidak pernah tengok pada pokok-pokok ini pun akan jadi suka," katanya.

Puan Noor Aishah yang dihadiahkan pokok orkid untuk menambah koleksinya di rumah berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menyarankan inisiatif sesi berkumpul bersama diadakan secara bulanan.


Pengerusi Masjid Yusof Ishak, Encik Muhd Ayub Johari berkata, selain daripada bengkel tersebut terdapat banyak lagi elemen-elemen orkid di dalam masjid tersebut, seperti mimbar dan taman bunga orkid, bagi menonjolkan keperibadian Presiden pertama Singapura.

"Saya gembira kerana Puan Noor Aishah dapat hadir bersama-sama, kerana beliau adalah salah seorang pencinta orkid, dan Allahyarham Presiden Yusof Ishak dahulu juga pencinta orkid dan kami merakamkan banyak perkara-perkara mengenai orkid di masjid ini, terutamanya mimbar masjid ini sendiri diukir dengan ukiran-ukiran orkid yang banyak, begitu juga kami mempunyai taman orkid di Masjid Yusof Ishak ini, jadi memang sesuai kita anjurkan ceramah orkid di Masjid Yusuf Ishak di hari ini," katanya.

BENGKEL ORKID BERI PELUANG MENGENALI AGAMA BERBEZA

Bagi Cik Lalithama Nair, bengkel tersebut bukan setakat memberikannya ilmu baru tentang bunga tersebut, malah ia menukar persepsinya tentang sebuah masjid. Sebelum menghadiri sesi tersebut beliau tidak mengetahui bahawa masyarakat lain daripada agama yang berbeza boleh memasuki sebuah masjid.

"Saya amat gembira dapat hadiri bengkel hari ini, ini satu pengalaman unik bagi saya kerana datang di masjid untuk menghadiri bengkel orkid. Saya rasa usaha ini dapat merapatkan perhubungan masyarakat daripada agama dan kaum yang berlainan," katanya. 

- BERITAMediacorp/UR/ru

Top