Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belum terlambat untuk warga tua belajar dan gunakan teknologi, kata PM Lee

Sedang Singapura menuju ke arah visi Negara Bijak, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa warga tua supaya mendakapi dan memanfaatkan teknologi maklumat, yang menurutnya membawa peluang pekerjaan dan faedah dalam kehidupan seharian.

Anggaran Waktu Membaca:
Belum terlambat untuk warga tua belajar dan gunakan teknologi, kata PM Lee

Seorang pelajar membantu warga tua menggunakan komputer. (Gambar: IDA)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 08:39PM Dikemas Kini : 20 Aug 2017 08:42PM

SINGAPURA: Sedang Singapura menuju ke arah visi Negara Bijak, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa warga tua supaya mendakapi dan memanfaatkan teknologi maklumat, yang menurutnya membawa peluang pekerjaan dan faedah dalam kehidupan seharian.

Dalam ucapan bahasa Mandarin beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan malam tadi (20 Ogos), Encik Lee menyentuh bagaimana menjadi celik IT boleh memanfaatkan sesiapa saja, tidak kira usia dan menekankan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk menjaga keselamatan warga tua yang tinggal sendirian.

"Buat masa ini, ramai warga tua atau mereka yang belum berkahwin hidup bersendirian ... Jika mereka jatuh, sakit dan terlantar di katil, bagaimana kita boleh tahu dan membantu mereka dengan segera?" tanya Encik Lee.

Inilah caranya bagaimana IT boleh membantu, jelas beliau.

Sensor bijak, seperti yang diuji Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), boleh mengesan dan "mempelajari" pergerakan penghuni sesebuah rumah. Ini termasuk apabila mereka ke dapur menyediakan jamuan dan juga apabila mereka keluar rumah.

Satu makluman akan dihantar kepada para anggota keluarga jika sensor itu tidak dapat mengesan sebarang pergerakan.

Selepas satu program perintis dijalankan pada 2015, HDB memperluaskan ujian itu untuk merangkumi para penduduk di Yuhua tahun lalu. Sekitar 3,000 penduduk diberi pilihan menguji peralatan bijak seperti sistem pengawasan warga tua di rumah-rumah mereka.

Salah satu penerima manfaat projek perintis itu adalah Cik Leow yang memasang sensor di rumahnya, kata Encik Lee.

Encik Lee juga berkongsi kisah rakyat Singapura Gillian Tee, yang kembali ke tanah air selepas tinggal di luar negara selama 15 tahun untuk menjaga dan meluangkan masa bersama ibunya yang semakin uzur. Menyedari terdapat warga tua lain seperti ibunya yang perlu dijaga, Cik Tee mengasaskan bersama Homage, satu app yang memadankan pengasuh yang ada seperti pelajar dan jururawat terlatih dengan warga tua.

Encik Lee juga menyebut tentang penggunaan IT Cik Teo Yoke Lan dan bagaimana ia merubah kehidupannya. Cik Teo, 70 tahun, yang bekerja sebagai pengirim UberEats dan menghantar makanan ke pejabat-pejabat di kawasan pusat bandar, mempelajari bagaimana untuk menggunakan GPS telefon bijaknya semasa bekerja.

"Kami harus mempelajari daripada semangat beliau terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Cik Teo memanfaatkan peluang-peluang yang dibawa IT dan boleh menyara hidup dan kekal sihat pada masa yang sama," ujar Encik Lee.

"IT boleh memperbaiki kehidupan kita dari banyak aspek yang lain. Belum lambat untuk mempelajari dan menggunakan IT supaya hidup kita lebih senang, selamat dan bermakna."

Sumber : CNA/RU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan