Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia yang rempuh Nissan GT-R di Kallang dipenjara 6 minggu

Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa Herman Shi Ximu, 19, dikenakan hukuman penjara enam minggu atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan tindakan terburu-buru. Ini selepas dia merempuh kereta Nissan GT-R miliknya ke arah kereta Toyota yang dipandu oleh Teong Hien Sing, 66 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Belia yang rempuh Nissan GT-R di Kallang dipenjara 6 minggu

Herman Shi Ximu kini dibebaskan dengan ikat jamin dan akan mula menjalani hukuman pada 1 Disember. (Gambar: Kamini Devadass)

Diterbitkan : 17 Oct 2017 11:49PM Dikemas Kini : 17 Oct 2017 11:55PM

SINGAPURA: Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa Herman Shi Ximu, 19, dikenakan hukuman penjara enam minggu atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan tindakan terburu-buru. Ini selepas dia merempuh kereta Nissan GT-R miliknya ke arah kereta Toyota yang dipandu oleh Teong Hien Sing, 66 tahun.

Lesen Shi juga digantung selama 18 bulan dari tarikh dia dibebaskan.

Pada 27 Ogos tahun lalu pada sekitar 2.50 petang, Shi menghadiri acara kereta di sebuah tempat letak kereta di Kallang di Stadium Walk. Dia sedang berada di bawah probesyen setahun bagi pemandu baru semasa insiden itu berlaku.

Pada sekitar 5.45 petang, dia menghentikan keretanya di hujung tempat letak kereta sebelum memecut dengan laju. Dia kemudian memandu melalui dua persimpangan tanpa isyarat, di tempat letak kereta itu.

Di persimpangan kedua itu, Shi gagal berhenti di garisan dan tidak memberi laluan kepada Encik Teong, yang memandu dari sebelah kiri ke kanannya.

GT-R itu kemudian bertembung di bahagian kanan kereta Toyota Corolla Encik Teong. Kedua-dua kenderaan terjejas teruk akibat perlanggaran itu.

Sebuah laporan daripada ahli sains forensik Penguasa Sains Kesihatan menunjukkan bahawa Shi memandu sehingga 121 km/sejam semasa insiden tersebut bagi jarak sekurang-kurangnya 72.2 meter.

Encik Teong mengalami rasa sakit di dada dan lehernya selepas nahas tersebut. Imbasan X-ray dari Hospital Besar Changi mendedahkan bahawa Encik Teong mengalami beberapa keretakan pada rusuk kanannya, dan dia diberikan cuti perubatan selama dua minggu.

Encik Teong juga mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth di mana imbasan MRI menunjukkan bahawa beliau mengalami 'haematoma' iaitu pengumpulan darah yang kronik di bahagian kiri otak - punca beliau berasa lemah dan kurang daya orientasi di bahagian kanan tubuh.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan dan sudahpun pulih sepenuhnya. Doktor hospital itu turut memberikan pendapat bahawa keadaan 'haematoma' itu juga disebabkan perlanggaran dua kereta tersebut.

Hakim Daerah May Mesenas mengatakan bahawa sesiapa yang "gemar pada keseronokan" dengan cara terburu-buru harus dijatuhi hukuman. Beliau menambah bahawa terdapat trend meningkat bagi pesalah seumpama itu di bawah usia 30 tahun, dan bahawa mereka tidak seharusnya dibebaskan "dengan mudah".

Shi boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun, dan/atau didenda sehingga S$10,000. Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin dan akan mula menjalani hukuman pada 1 Disember. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan