Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia Melayu S'pura, Nor Lastrina, berucap di sidang iklim Paris

Seorang aktivis muda dari Singapura, Nor Lastrina Hamid mewakili gerakan belia antarabangsa, YOUNGO, untuk menyampaikan ucapan di rundingan iklim yang berlangsung di Paris.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang aktivis muda dari Singapura, Nor Lastrina Hamid mewakili gerakan belia antarabangsa, YOUNGO, untuk menyampaikan ucapan di rundingan iklim yang berlangsung di Paris.

YOUNGO adalah sebuah rangkaian antarabangsa yang bertujuan menggalak, memperkasa dan memacu gerakan-gerakan belia untuk mengambil tindakan positif terhadap perubahan iklim.

Dalam ucapan sekitar tiga minit yang disampaikan di satu segmen peringkat tinggi rundingan di Paris kelmarin (8 Dis), Cik Nor Lastrina dari Belia Singapura untuk Tindakan Iklim (SYAC) melahirkan hasrat YOUNGO supaya negara-negara melaksanakan janji mereka untuk mencapai perjanjian bagi mengekalkan kenaikan suhu global di bawah 1.5 darjah Selsius.

Ketika dihubungi BERITA MediaCorp, Cik Nor Lastrina berkongsi tentang pengalamannya itu.

"YOUNGO digalakkan untuk menyertai kumpulan kerja yang berbeza seperti pendidikan, kesihatan dan penulisan draf. Pasukan penulisan draf ini adalah kumpulan yang menulis teks kenyataan, dan dari situ kami digalakkan untuk menjadi sukarelawan dan memberi ucapan. Jadi saya menawarkan diri dan saya menulis dan bercakap untuk pihak YOUNGO.

"Saya berasa bangga untuk mewakili semua NGO belia dan berharap ucapan yang ditulis oleh sekumpulan belia ini menceritakan fakta dan situasi serta pengalaman yang kami alami dan berharap kami berlaku adil untuk gerakan NGO belia semua," katanya.

BERHARAP MATLAMAT KENAIKAN SUHU GLOBAL DI BAWAH 1.5 DARJAH SELSIUS

Bercakap tentang sidang puncak iklim di Paris pula, Cik Nor Lastrina berkata beliau berharap sebaik-baiknya matlamat kenaikan suhu global di bawah 1.5 darjah Selsius digunakan dalam perjanjian baru pihak negara-negara yang berunding.

"Saya berharap matlamat 1.5 darjah Selsius itu digunakan dalam perjanjian yang baru, dan bukan 2 darjah Selsius. Kenaikan suhu global melebihi 1.5 atau 2 darjah Selsius akan menyebabkan bencana alam untuk kita semua dari segi kekurangan air, penghasilan makanan dan sebagainya.

(Gambar: Nor Lastrina Hamid)

(Gambar: Nor Lastrina Hamid)

"Jadi saya rasa dengan adanya sasaran yang lebih berani, dan menghadkan kenaikan suhu global untuk tidak melebihi 1.5 darjah Selsius itu penting, terutamanya untuk Singapura. Saya harap Singapura akan meneruskan rancangannya samada ada perjanjian baru ini dicapai atau tidak," ujarnya.

Para perunding di sidang puncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris menyiapkan satu draf baru perjanjian global yang mungkin dimeterai lewat hari ini.

Namun para delegasi masih berpecah pendapat mengenai sejauh mana mereka mahu menghadkan kenaikan suhu global, dan bagaimana untuk membiayainya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan