Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai Certis Cisco didapati bersalah lepaskan tembakan ketika main rolet

Seorang bekas pegawai Certis Cisco yang melepaskan tembakan dari pistolnya semasa satu permainan yang serupa dengan Russian roulette, hari ini (24 Jan) didapati bersalah melakukan perbuatan cuai yang membahayakan nyawa manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai Certis Cisco didapati bersalah lepaskan tembakan ketika main rolet

(Gambar hiasan: AFP/Philippe Huguen)

Diterbitkan : 24 Jan 2017 02:31PM Dikemas Kini : 24 Jan 2017 02:32PM

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai Certis Cisco yang melepaskan tembakan dari pistolnya semasa satu permainan yang serupa dengan Russian roulette, hari ini (24 Jan) didapati bersalah melakukan perbuatan cuai yang membahayakan nyawa manusia.

Gregory Lai Kar Jun, 23 tahun, sedang bertugas di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 13 Ogos 2015 apabila dia mengeluarkan kesemua lima peluru dari pistolnya dan meletakkannya atas meja. Dia memasukkan sebutir peluru ke dalam pistol, mengacukannya ke arah lantai, dan memetik picu.

Apabila tiada apa-apa terjadi, dia memetik picu sekali lagi. Kali ini, tembakan dilepaskan. Lai melepaskan tembakan itu dalam ruang yang kecil - bilik kecil berukuran 2.7m kali 1.7 m, ketika rakan kerjanya berdiri hanya sekitar 1 meter darinya.

"Sepucuk pistol, yang mengandungi peluru, bukan barang mainan. Peluru itu mungkin melantun ke mana-mana dalam bilik itu. Secara kebetulan sahaja tiada apa-apa berlaku (pada rakan kerjanya)," kata Hakim Daerah Hamidah Ibrahim.

Beliau berkata Lai "mesti sedar bahawa memetik picu pistol yang mengandungi peluru ketika seorang lagi individu berada amat berhampiran, adalah perbuatan amat berisiko" yang membahayakan nyawa manusia.

Lai dan rakan kerjanya, Muhammad Dzul Adhar, yang kedua-duanya ketika itu korporal di firma keselamatan Certis Cisco, menemui peluru yang terpakai itu dan menyembunyikannya dalam tetongkat trafik. Untuk menutup perbuatannya itu, Lai ke bilik air di pusat pemeriksaan itu dan membuang peluru kedua ke dalam mangkuk tandas.

Pada keesokan harinya, dia melaporkan dua pelurunya hilang kepada bilik operasi Pusat Pemeriksaan Tuas.

Sementara itu, Dzul bersetuju membantu Lai membuang peluru yang terpakai itu. Dia meletakkan peluru itu dari tetongkat tersebut ke dalam kotak rokok, sebelum membuangnya di Kolam Bedok Reservoir semasa awal pagi 14 Ogos 2015.

Dzul pada tahun lalu dipenjara tiga minggu dan didenda S$2,000 kerana sengaja menghalang proses keadilan dan gagal memberikan maklumat kepada polis tentang jenayah Lai itu.

Lai juga didapati bersalah hari ini kerana sengaja menghalang proses keadilan dan berbohong kepada polis. Dia mengakui perbuatannya itu lima hari selepas gagal ujian pengesan bohong.

Atas kesalahan berkelakuan cuai hingga membahayakan nyawa manusia, Lai boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda. Dia juga menghadapi penjara sehingga tujuh tahun dan denda kerana menghalang proses keadilan, dan penjara sehingga setahun dan denda kerana berbohong kepada polis.

Dia akan dijatuhi hukuman pada 9 Februari.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan