Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa bahagian Koridor Rel dibuka jelang 2021, dengan khidmat, kemudahan baru

Menjelang 2021, sebahagian daripada Korridor Rel yang sepanjang 24 kilometer antara Tanjong Pagar dengan Woodlands, akan dipertingkat bagi meningkatkan keselesaan dan pengalaman para pengunjung.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Oct 2017 01:28PM Dikemas Kini : 21 Oct 2017 08:53PM

SINGAPURA: Menjelang 2021, sebahagian daripada Korridor Rel yang sepanjang 24 kilometer antara Tanjong Pagar dengan Woodlands, akan dipertingkat bagi meningkatkan keselesaan dan pengalaman para pengunjung.

Demikian diumumkan oleh agensi-agensi pemerintah yang menerajui projek itu, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (21 Okt).

Mercu tanda di laluan 4 kilometer antara Bukit Timah dengan Hillview akan dibaik pulih.

Sebagai contoh, Stesen Kereta Api Bukit Timah yang dipulihara akan diubah menjadi sebuah galeri warisan dan pusat pengunjung. Selain itu, para pengunjung juga boleh berehat dan menjamu selera di gerai-gerai makanan dan minuman di bekas tapak kediaman pegawai stesen kereta api yang terletak berdekatan. 

NParks dan URA mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons kepada maklum balas orang ramai yang berpendapat bahawa tiada kemudahan sedemikian sepanjang Korridor itu.

Selepas tanah bekas stesen kereta api itu diserahkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad yang dimiliki Malaysia kepada pihak berkuasa Singapura pada 2011, URA kerap berhubungan dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas untuk memperbaiki kawasan itu agar dapat memenuhi keperluan mereka.

Pada 2015, satu Permohonan bagi Saranan diberikan kepada sebuah syarikat Jepun, Nikken Sekkei untuk melakar pelan induk berdasarkan idea-idea yang diusulkan. Tahun lalu, masyarakat sekali lagi dirujuk bagi memeperhalusi idea-idea yang diterima.

Antara saranan yang dikemukakan termasuk menjadikan Koridor Rel lebih mesra golongan kurang upaya serta mengadakan kegiatan-kegiatan khusus bagi mereka yang hanya ingin mengunjungi sebahagian daripada jejak yang panjang itu.

Salah satu usulan adalah untuk memulihara dan mengembalikan jambatan Hillview, yang ditanggalkan pada 2011 supaya orang ramai dapat menikmati keseluruhan jejak itu tanpa menyeberangi jalan raya. Prasarana seperti jambatan dan landasan keluli akan diperbaiki dan dipastikan selamat.

Tempat-tempat bagi meninjau-ninjau pemandangan di sekitar kawasan itu juga akan disediakan. Begitu juga biodiversiti di kawasan tersebut. Lawatan berpandu juga akan dianjurkan bagi membolehkan orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan jejak tersebut. Kerja-kerja penambahbaikan akan dimulakan tahun depan dan dijangka siap secara bertahap-tahap menjelang 2021.

Bahagian Koridor Rel ini juga akan membentuk sebahagian daripada jejak rentas pulau yang baru. Jejak baru sepanjang 36 kilometer itu akan menghubungkan Taman Tasik Jurong di kawasan Barat dengan Taman Pulau Coney di kawasan timur laut melalui siri taman dan Rangkaian Penghubung Taman.

Bermula hujung tahun 2018, para pengunjung boleh meninjau-ninjau jejak itu menggunakan aplikasi mudah alih.

Orang ramai boleh berkongsi pandangan mereka di pameran-pameran bergerak ataupun secara online di nparks.gov.sg/railcorridor/share-your-thoughts sebelum 21 Disember ini.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan