Images
  • taa1
    Bazar Ramadan kini dilanjutkan ke Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

Bazar Ramadan buat kemunculan pertama di Lapangan Terbang Changi, lengkap dengan tabung TAA

BERITAMediacorp: Seringkali semangat untuk menyambut bulan Ramadan dapat dirasakan menerusi pembukaan bazar-bazar Ramadan di kawasan perumahan yang menyediakan masyarakat Muslim dengan makanan dan minuman untuk berbuka puasa.

Buat pertama kalinya, santapan Ramadan dilanjutkan ke Lapangan Terbang Changi.

Bazar Ramadan@Changi Airport yang terletak di besmen Terminal 3 itu bukan sahaja menyediakan para pengunjung dengan pelbagai jenis makanan seperti kuih- muih dan manisan, para pengunjung turut disediakan dengan produk-produk yang dekat dengan hati masyarakat Melayu, seperti barang perhiasan rumah dan pakaian muslimah.

MENARIK MINAT PENDUDUK SETEMPAT DAN PELANCONG ANTARABANGSA

Menurut pihak penganjur, lokasi yang stretegik itu diharap bukan sahaja dapat menarik penduduk setempat, namun pada masa yang sama dapat menarik minat dan mempamerkan semangat menyambut bulan Ramadhan kepada pelancong antarabangsa.

"Niat saya mengadakan bazaar Ramadan di Lapangan Terbang Changi kerana saya ingin memperkenalkan semangat menyambut Ramadan kepada penduduk tempatan dan pelancong- pelancong antarabangsa. Saya rasa lokasi ini merupakan lokasi strategik bagi kedua-dua pihak bagi mereka mengenali lebih lagi apa yang berlaku sebelum sambutan Hari Raya," kata Cik Nur Diana Mohd Ismail.

LOKASI STRATEGIK BAGI USAHAWAN BELIA DAN PENGUNJUNG

Bazar Ramadan yang seluas 96 meter persegi itu turut ingin menggalak semangat keusahawanan di kalangan para belia.


Menurut Cik Nur Diana, separuh daripada 12 pegerai Bazar@Changi Airport itu merupakan usahawan belia.

Namun apa yang membezakan Bazar Ramadan@Changi Airport dan bazar-bazar lainnya ialah pengalaman berbelanja yang selesa dan nyaman bagi pegerai dan pembeli.

"Konsepnya berbeza di Lapangan Terbang Changi. Satu perbezaanya ialah kerana lokasi ini ada hawa dingin, maka pengunjung dan para pembeli berada dalam keadaan yang lebih selesa, dan apa yang mereka mahu semua boleh didapatkan di bawah satu bumbung, mereka boleh dapat pakaian dan kuih-muih yang mereka boleh pesan" kata Cik Nur Diana.

"Pendekatan untuk memesan kuih-muih terlebih dahulu merupakan sesuatu yang baru, dengan harapan pengunjung dan pembeli dapat merasa kuih-muih untuk bersiap sedia bagi sambutan Aidilfitri sebelum Ramadan, agar "ibadah di bulan Ramadan itu tidak terganggu".

BERAMAL SAMBIL MEMBELI

Buat pertama kalinya juga, kotak Tabung Amal Aidilfitri (TAA) diletakkan di bazar Ramadan di Lapangan Terbang Changi.


(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

Ketua Jawatankuasa Eksekutif (TAA), Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, berkata bahawa usaha tersebut memupukkan lagi semangat memberi di kalangan masyarakat Singapura secara kesuluruhannya. Menerusi kotak TAA ini.

"Jadi inisiatif tabung di Lapangan Terbang Changi ini mungkin memberi pelancong-pelancong yang datang ke sini, untuk bertanyakan apakah TAA lakukan dan bagaimana usaha pertubuhan TAA ini dapat memberi kepada masyarakat Singapura sejagat," jelas beliau lagi.

Pihak jawatankuasa TAA berharap dapat mengumpul sekitar $5,000 hingga $10,000.

Bazar Ramadan@Changi Airport berlangsung sehingga Ahad ini.  

- BERITAMediacorp/im

Top
>