Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazaar, penyalaan lampu Deepavali tarik perhatian pengunjung

Meskipun dengan kawalan keselamatan yang lebih ketat, orang ramai masih lagi mengharungi bazar di Little India untuk menyemarakkan lagi suasana perayaan dan beli-belah terakhir sehari sebelum Deepavali semalam (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Bazaar, penyalaan lampu Deepavali tarik perhatian pengunjung

Para pengunjung bazaar Deepavali. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 18 Oct 2017 09:28PM Dikemas Kini : 18 Oct 2017 09:30PM

SINGAPURA: Meskipun dengan kawalan keselamatan yang lebih ketat, orang ramai masih lagi mengharungi bazar di Little India untuk menyemarakkan lagi suasana perayaan dan beli-belah terakhir sehari sebelum Deepavali semalam (17 Okt).

Para pengendali gerai mencatatkan perniagaan yang baik dengan para pengunjung berjaya mengisi beg-beg mereka dengan rangoli (tepung berwarna untuk dihiasi di lantai), manisan, alat-alat memasak diperbuat daripada besi (dipercayai membawa tuah) dan lampu-lampu minyak dinamakan diya.

Laluan di Burch Road dan Burmah Road tutup sejak 5.00 petang semalam sehingga 4.00 pagi pada hari seterusnya.

Mediacorp mendapati wujudnya lebih banyak kehadiran polis bagi membantu pergerakan manusia di dua bazaar berdekatan Pusat Tekka dan Mustafa Centre. Pegawai polis sokongan juga dikerahkan untuk mengawal trafik dan membantu pengguna jalan raya.

Buat sebilangan orang, kunjungan ke Little India adalah sebahagian daripada aktiviti keluarga.

Encik Harvinder Grewal, 48 tahun, dan keluarganya sedang melakukan kunjungan ketiga ke Little India menjelang perayaan Deepavali. Selain membeli lampu dan lilin, kedua-dua anak perempuannya turut mengenakan inai.

"Kami melakukan perbelanjaan kami bertahap-tahap dengan sengaja," kata Encik Grewal, yang bekerja dalam industri teknologi logistik. "Isteri saya dan saya adalah Sikh dari India - Mumbai dan Kolkata - jadi ini adalah caranya untuk mendedahkan anak kami kepada budaya kami," ujar Encik Harvinder.

Buat jururawat Banumathi Baskaran pula, beliau membawa ibunya untuk menunjukkan bagaimana Deepavali diraikan di Singapura.

"Suasana amat berbeza dengan di India, tetapi kami masih kekalkan tradisi di rumah...Pada jam 5.00 pagi (pagi Deepavali), saya akan kejut semua orang untuk mandi minyak," katanya yang berusia 44 tahun, yang bekerja di pusat dialisis dan menetap di Singapura selama 17 tahun.

Bagi Encik Sapiee Sadi pula, penyelaras projek berusia 65 tahun itu dilihat mengambil gambar-gambar lampu. "Saya tidak meraikan Deepavali, tetapi saya ingin meletakkan nota pada satu gambar supaya saya boleh mengirimnya kepada rakan kerja India sebagai tanda ucapan," kongsi beliau. 

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan