Images
  • parent one
    Cik Rabitah bersama suaminya, Encik Eddykurniawan bersama anak pertama mereka. (Gambar: Hospital Raffles)

Bayi Hari Kebangsaan: Emir Rayhan lahir tepat jam 12.00 tengah malam 9 Ogos

BERITAMediacorp: Seorang bayi Melayu, lahir tepat pada 12.00 tengah malam tadi (9 Ogos), sekaligus menjadikannya 'bayi Hari Kebangsaan’ pertama tahun ini.

Bayi yang dinamakan Emir Rayhan bin Eddy Kurniawan itu dilahirkan di Hospital Raffles dalam keadaan sihat dengan berat badan 3.29 kilogram.


Kelahiran Emir Rayhan pada tarikh bersejarah ini sebenarnya tidak 'dijangka' oleh ibu bapanya!

Apabila dihubungi oleh pihak BERITAMediacorp, ibu kepada bayi tersebut, Cik Rabitah Razali, 28 tahun, berkata kelahiran anak pertamanya itu pada Hari Kemerdekaan Singapura merupakan satu 'kejutan manis' yang tidak dapat dilupakannya.

BAYI DILAHIRKAN CARA NORMAL, BUKAN PEMBEDAHAN

"Sebenarnya anak saya dijadualkan lahir pada tarikh 2 Ogos lalu. Pada Selasa jam 6.00 pagi saya mula rasakan ketegangan rahim dan terus bergegas ke hospital. Saya tak sangka bayi saya akan dilahirkan tepat jam 12.00 tengah malam," katanya sambil ketawa.

"Saya rasa amat bangga untuk melahirkan anak pertama saya pada 9 Ogos, sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat lupakan tarikh istimewa ini," kata Cik Rabitah yang bekerja sebagai seorang Pegawai Eksekutif Pentadbiran.

Lebih menjadikan ini luar biasa ialah kerana waktu lahirnya ialah 0000hrs. Pakar perbidanan dan sakit puan Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph, yang menyambut kelahiran bayi berkenaan berkata bayi tersebut dilahirkan dengan cara normal tanpa kaedah pembedahan caesarian.

(Dr Jazlan Joosoph bergambar bersama pasangan Cik Rabitah dan Encik Eddykurniawan setelah menyambut Emir Rayhan. Gambar: Dr Jazlan Joosoph dari Hospital Raffles)

"Saya turut berasa gembira apabila saya menyambut kelahiran Emir, apabila dia dilahirkan seluruh wad kami sorak kegembiraan, rasa penat kami pun hilang," kata Dr Jazlan yang turut mengatakan terdapat tiga bayi lain yang dilahirkan di hospital tersebut malam tadi.

SEORANG LAGI BAYI DILAHIRKAN PADA HARI KEBANGSAAN – ‘ANAK KEEMPAT YANG BERSEJARAH'

BERITAMediacorp dimaklumkan terdapat seorang lagi bayi Melayu yang dilahirkan pada 9 Ogos di Hospital Raffles, iaitu pada jam 12.31 tengah hari tadi. Bayi yang masih belum lagi dinamakan itu, merupakan anak keempat daripada pasangan Hasliani Hassim dan Muhammad Khairil.

Sama seperti kelahiran Emir, bayi ini turut 'memberi kejutan' kepada ibu bapanya kerana dia sepatutnya dijadualkan tiba pada bulan depan, 2 September 2017. Namun, selain daripada dilahirkan pada tarikh yang bersejarah, ibunya turut berkongsi bahawa anaknya itu mencatat sejarah yang lain.



"Tidak seperti adik-beradiknya yang lain yang menghidapi sakit 'gangguan mata genetik', iaitu penyakit mata yang bergenetik, doktor memberitahu kami dia tidak menghidapi penyakit tersebut. Saya rasa amat bersyukur.

"Tidak seperti adik-beradik yang lain juga, anak saya yang keempat ini membuatkan saya menunggu selama 12 jam dalam bilik bersalin!" tambahnya.

Anaknya itu dilahirkan dengan kaedah yang normal dengan berat badan 2.47 kilogram. 



(Cik Hasliana bergambar dengan bayinya. Gambar: Muhammad Khairil)



- BERITAMediacorp/ur

Top