Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bas ulang-alik, khutbah Inggeris Masjid Al-Islah dapat sambutan baik

Sambutan Syawal bagi para penduduk Punggol lebih bermakna tahun ini dengan pembukaan Masjid Al-Islah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan Syawal bagi para penduduk Punggol lebih bermakna tahun ini dengan pembukaan Masjid Al-Islah.

Sekitar 7,000 jemaah datang mengerjakan solat Aidilfitri buat pertama kalinya di Masjid Al-Islah pagi tadi.

Satu kemudahan yang disediakan khas bagi para jemaah adalah perkhidmatan bas ulang-alik.

Sebanyak empat bas berulang alik di dua laluan kawasan masjid sehingga 10.00 pagi tadi. Ia disewa bagi memenuhi keperluan para jemaah yang lebih tua.

Seorang jemaah, Ishak Ismail, berkata: "Bagus, disediakan kenderaan untuk ke masjid begini. Kemudahan itu diaturkan cara macam ini, bagus."

Seorang lagi jemaah, Shakilah Osman, berkata: "Pada saya, orang yang baru tinggal di kawasan sini memang baik, terutamanya, fasal kita tidak tahu jalan."

Muhd Hakim pula berkata: "Perkhidmatan bas ulang-alik ini bagus kerana orang yang berjalan kaki boleh mengambil bas dan orang yang memandu kereta tidak perlu sesak di tempat meletak kereta."

DUA SESI SOLAT RAYA, KHUTBAH BAHASA INGGERIS

Bagi kemudahan jemaahnya yang berbilang bangsa, Masjid Al-Islah juga mengadakan dua sesi solat Aidilfitri.

Sesi pertama dengan khutbah dalam bahasa Melayu, dijalankan pada 7.45 pagi tadi. Manakala, khutbah bahasa Inggeris pula disampaikan sejam kemudian.

Naib Pengerusi Masjid Al-Islah, Mohd Faizul, berkata: "Sebelum masjid ini didirikan, kami telah melakukan lawatan rumah ke rumah dan kami dapati demografi di sini ada penduduk yang tidak berbahasa Melayu.

"Jadi ini adalah satu cara untuk kita memberi peluang kepada yang bukan fasih dalam bahasa Melayu."

Usaha ini mendapat sambutan baik, terutamanya, di kalangan para pekerja asing yang menyambut Syawal di Singapura.

Pekerja asing Aminulislam berkata: "Ia merupakan masa yang terbaik di dalam kehidupan kita."

Seorang lagi pekerja asing, Bruno Reza Gillet pula berkata: "Gembira mendengar khutbah dalam bahasa Inggeris. Ia benar-benar membantu lebih ramai orang untuk memahami tentang agama." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan