Images
  • ndp 2017
    Keadaan semasa pertunjukan previu NDP 2017. (Gambar: Twitter/NDPeeps)

Awas: Tiket 'haram' NDP mula dijual

SINGAPURA: Sesiapa yang didapati menjual tiket Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) secara haram akan dilarang terus daripada membuat undian bagi tiket NDP pada masa depan.

Demikian menurut jawatankuasa eksekutif NDP semalam (16 Jul) apabila beberapa tiket ditawarkan di pasaran online seperti Carousell, eBay dan Craigslist.

Sebagai respons kepada pertanyaan media, jawatankuasa itu menyatakan ia "memandang serius terhadap penjualan dan pengedaran tiket-tiket NDP bagi acara raptai atau 9 Ogos".

Tambahnya, semua tiket NDP dikeluarkan dengan nombor siri dan dapat dikesan kepada penerima asal.

"Mengaup keuntungan dengan menjual tiket NDP yang diberikan percuma  sempena meraikan ulang tahun negara mencemari semangat perayaan acara tersebut," menurut jawatankuasa itu.


(Iklan di eBay yang menunjukkan penjualan tiket NDP. Gambar: CNA)

Berdasarkan carian kami di internet pada malam semalam, mendapati tiket NDP pada 9 Ogos mencecah S$250 di eBay.


(Iklan penjualan tiket-tiket NDP di Carousell. Gambar: CNA) 

Sementara itu, gambar yang tersebar luas dalam talian menunjukkan senarai di Carousell bagi 38 tiket NDP yang dijual pada S$50 setiap satu. Pengguna yang dikenali dengan jytx98, menyebut "hak syarikat" sebagai sumber tiket-tiket tersebut.

Dalam kenyataannya juga, jawatankuasa eksekutif NDP membuat rayuan kepada wadah-wadah pemasaran online untuk menurunkan catatan penjualan tiket NDP dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap para penipu.  

- CNA/fa

Top