Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Jangan beli, jual, bekalkan produk 'PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'

Orang ramai dinasihati supaya jangan membeli atau menggunakan produk 'PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai dinasihati supaya jangan membeli atau menggunakan produk 'PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'.

Ini setelah seorang pengguna mengalami kesan sampingan serius disebabkan bahan steroid dan juga mengalami kencing manis selepas mengambilnya, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (4 Apr).

Produk itu dipasarkan sebagai penawar herba tradisional untuk pelbagai masalah perubatan seperti rasa bisa, mati pucuk, penyakit buah pinggang dan angin ahmar.

Namun, setelah diuji oleh HSA, ia didapati mengandungi beberapa ubat-ubatan barat yang berbahaya dan tidak diisytiharkan.

Ini termasuk dexamethasone, piroxicam, griseofulvin dan paracetamol, menurut kenyataan HSA.

Produk itu dijual di lelaman media sosial dan juga di lelaman luar negara dan sesetengah pengguna mungkin memperolehinya daripada rakan-rakan atau saudara-mara mereka.

(Gambar: HSA)

KESAN SAMPINGAN: WAJAH MEMBENGKAK, BERAT BADAN NAIK

Menurut HSA, seorang wanita Melayu dalam lingkungan usia 60-an tahun mengambil produk tersebut kerana mengalami sakit lutut.

Ia dengan cepat membantu melegakan rasa sakit namun berat badan naik dengan cepat dan wajahnya membengkak setelah menggunakan produk itu selama beberapa bulan.

Wanita itu kemudian didiagnosis dengan penyakit kencing manis dan sindrom Cushing, iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan steroid pada jangka panjang dan boleh dilihat kesannya pada wajah yang membengkak atau dipanggil 'moon face' dan badan yang gemuk namun bahagian kaki dan tangannya tetap kurus.

Keadaan itu mungkin disebabkan adanya dexamethasone, sejenis steroid berbahaya dalam produk.

Wanita itu membeli produk tersebut menerusi media sosial, menurut HSA.

Menurut doktor beliau, beberapa pengguna yang mengambil produk tersebut turut mengalami kenaikan berat badan, yang berkemungkinan disebabkan kandungan steroid dalam produk.

NASIHAT HSA KEPADA ORANG RAMAI

HSA menasihati mereka yang menggunakan produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb' supaya:

1) Segera berjumpa dengan doktor.

Ini kerana produk tersebut terbukti mengandungi bahan steroid berbahaya.

Jika pengguna serta merta berhenti menggunakannya tanpa penyeliaan perubatan yang betul ia boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti keletihan, kebingungan dan tekanan darah rendah, lebih-lebih lagi apabila produk sudah diambil melebihi beberapa minggu.

2) Berhati-hati apabila membeli produk kesihatan secara online atau dari sumber-sumber yang tidak begitu pasti, meskipun ia disarankan oleh rakan-rakan dan saudara-mara yang berniat baik. Produk-produk sedemikian tidak dapat dipastikan di mana dan bagaimana ia dibuat atau bahan yang terkandung di dalamnya.

3) Berwaspada terhadap produk-produk kesihatan sampingan, seperti produk kesihatan tambahan, ubat-ubatan tradisional yang menjanjikan atau menunjukkan kesan dengan cepat bagi penyakit kronik seperti melegakan kesakitan dengan cepat.

Ia mungkin dicemari dengan ubat-ubatan doktor yang sepatutnya diambil di bawah penyeliaan perubatan.

Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi jika memerlukan bantuan bagi menangani masalah penyakit kronik.

Orang ramai digalakkan melungsuri laman www.healthdangers.sg untuk mempelajari lebih banyak tentang bahaya membeli produk kesihatan yang tidak sah dari sumber-sumber yang tidak diketahui, menurut HSA.

(Gambar: HSA)

JUAL, BEKAL PRODUK TIDAK SAH

Para penjual mesti segera berhenti menjual produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'.

Menjual dan membekalkan produk kesihatan tambahan yang mengandungi bahan ubat-ubatan berbahaya dan tidak diisytiharkan, adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang.

Sesiapa yang didapati membekalkan produk sedemikian boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga $100,000.

Penawar saraf Herba Qaseh diharamkan HSA pada 4 Apr 2017. (Gambar: HSA)

Orang ramai yang mahu memperolehi lebih banyak maklumat mengenai penjualan dan pembekalan produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb' atau produk-produk lain yang diharamkan boleh menghubungi Cabang Penguatkuasaan HSA pada waktu pejabat di talian: 6866-3485 (Isnin hingga Jumaat) atau mengirimkan emel ke hsa_is [at] hsa.gov.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan