Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Jangan beli 2 krim ‘Glow Glowing’, paras raksa sehingga 25,000 kali lebih tinggi

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan set komestik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’ yang mengandungi krim ‘Night Glowing’ dan krim ‘Night Glow’.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan set komestik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’ yang mengandungi krim ‘Night Glowing’ dan krim ‘Night Glow’.

Ini setelah krim ‘Night Glowing’ yang diuji oleh HSA itu didapati mengandungi paras raksa yang tinggi, iaitu sehingga lebih 25,000 kali lebih tinggi daripada had yang dibenarkan.

Jumlah raksa seumpama itu menurutnya boleh mengundang bahaya kesihatan yang serius kepada para pengguna. Krim ‘Night Glow’ juga didapati mengandungi tretinoin dan hydroquinone, di mana kedua-duanya adalah bahan-bahan terlarang.

Malah, jumlah hydroquinone yang dikesan dalam ‘Night Glow’ juga adalah tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah dalam produk-produk yang digunakan bagi rawatan kulit.

Dapatan tersebut adalah hasil siasatan menyusuli maklum balas seorang individu yang berasa curiga apabila kesan pemutihan itu terlalu pantas setelah menggunakan produk-produk berkenaan. Kedua-dua produk tersebut dijual di pelbagai platform online dan dipasarkan bagi pencerahan dan pemutihan kulit serta untuk mengurangkan jerawat.

Meskipun hanya dua produk dalam set komestik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’ yang didapati mengandungi paras raksa yang sangat tinggi dan bahan terlarang lain, para pengguna yang sudahpun membeli atau sedang menggunakan set kosmetik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’ atau set kosmetik lain yang mengandungi dua krim tersebut dinasihati supaya berhenti menggunakan seluruh set itu sebagai langkah berjaga-jaga.

KEPRIHATINAN KESELAMATAN

Raksa adalah bahan bahaya dan dilarang digunakan sebagai bahan dalam produk kosmetik. Penggunaan tetap krim yang mengandungi raksa boleh menyebabkan ruam, warna kulit yang pudar dan kulit yang bertompok-tompok.

Pendedahan kepada terlalu banyak paras raksa yang tinggi dalam produk kosmetik juga boleh menyebabkan bahaya kepada ginjal, sistem pencernaan dan saraf. Ini memandangkan ia boleh diserap ke dalam tubuh, yang boleh mengakibatkan kerosakan organ.

Hydroquinone dan tretinoin adalah bahan bahaya yang digunakan dalam ubat-ubatan Barat bagi merawat keadaan kulit. Bahan-bahan tersebut dilarang dalam produk kosmetik jagaan kulit dan hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan. Ini kerana ia boleh menyebabkan kesan bahaya jika tidak digunakan dengan betul.

Penggunaan yang tidak betul bagi hydroquinone boleh menyebabkan perubahan pada warna kulit dan reaksi yang terlalu sensitif seperti ruam, kemerah-merahan pada kulit dan kulit yang terbakar. Jika tidak digunakan dengan betul, tretinoin juga dapat menyebabkan kemerah-merahan dan pengelupasan kulit.

MAKLUMAN PENGGUNA

Orang ramai dinasihati supaya:
- Berhenti menggunakan set kosmetik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’ dan set kosmetik lain yang mengandungi krim ‘Night Glowing’ dan krim ‘Night Glow’ dengan segera

- Berjumpa doktor jika mereka mengalami kesan buruk selepas menggunakan produk-produk yang terjejas

- Berhati-hati semasa membeli produk kosmetik, termasuk yang dibeli oleh sumber online. Mereka harus membeli produk kosmetik dari sumber yang boleh dipercayai dan yang memiliki reputasi baik. Tidak seperti produk lain, produk kesihatan yang menggunakan label palsu dan bermutu rendah termasuk kosmetik boleh menyebabkan kesan kesihatan serius kerana ia boleh mengandungi bahan-bahan tidak diisytiharkan yang boleh membahayakan tubuh.

- Layari www.healthdangers.sg untuk mengetahui lebih lanjut tentang bahaya membeli produk kesihatan haram daripada sumber yang mencurigakan

MAKLUMAN KEPADA PENJUAL PRODUK KOSMETIK

HSA sedang bekerjasama dengan beberapa platform online untuk menarik balik produk tersebut dari laman-laman masing-masing. Para penjual mesti berhenti menjual krim ‘Night Glowing’ dan ‘Night Glow’ dengan segera, tidak kira sama ada secara individu atau dalam set kosmetik, seperti set kosmetik ‘Glow Glowing Skincare 4 dalam 1’.

Para penjual bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik yang dijual adalah selamat untuk digunakan dan mematuhi tuntutan peraturan di Singapura bagi penjualan dan pembekalan produk kosmetik, termasuk ketiadaan bahan terlarang.

HSA akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati menjual krim-krim yang terjejas. Sesiapa yang membekalkan produk kesihatan haram boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, individu itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penjualan dan pembekalan produk-produk tersebut boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di 6866-3485 semasa waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. Orang ramai juga boleh menyerahkan maklumat tersebut kepada hsa_is [at] hsa.gov.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan