Images
  • saf nsmen
    (Gambar: The Singapore Army on Facebook/Army News)

Askar kerahan SAF 'harus timbangkan dengan teliti' khidmat HALPS

SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Jumaat (19 Mei) menasihati para askar kerahan supaya berhati-hati terhadap khidmat mencuci dan menyimpan uniform dan peralatan tentera.

Ini meskipun seorang jurucakap bagi idea perniagaan itu berkata bahawa usaha itu bertujuan untuk memperbaiki dan bukan menghambat tahap operasi para askar kerahan.

Diberi nama 'Helping Arms in ICT's Laundry, Packaging & Storage (HALPS)', khidmat tersebut diusahakan oleh sekumpulan askar kerahan (NSmen) sewaktu menjalani latihan dalam kem (ICT).

Khidmat itu juga akan dijalankan dengan mengambil uniform askar kerahan dan peralatan tempur di luar kem mereka pada hari terakhir ICT.

Kesemua barang ini kemudian akan dibersihkan dan disimpan di sebuah gedung sebelum disiapkan dan dihantar bagi pengambilan di luar kem sebelum ICT seterusnya.

"Ia penting bagi semua anggota khidmat SAF untuk memastikan bahawa mereka mesti bersiap sedia secara operasi," kata Ketua Pegawai Bekalan SAF, Kolonel Terry Tan.

Bagaimanapun, pada awal minggu ini, jurucakap HALPS berkata: "Khidmat 'concierge' sebegini yang ingin kami sediakan hanya untuk meningkatkan dan menyelaraskan proses pentadbiran bagi semua askar kita."

Bayaran bagi khidmat tersebut juga belum dapat dipastikan "tetapi kemungkinan ditetapkan sekitar S$360 setiap tahun", kata jurucakap tersebut, sambil menambah bahawa HALPS juga "mungkin dapat memberi rebat kepada para pelanggan bagi sebarang langganan secara berkumpulan dalam unit atau kem yang sama".

Sejauh ini, sekitar 80 anggota kerahan sudah mendaftarkan diri bagi khidmat tersebut berdasarkan minat yang dipaparkan melalui emel dan Facebook. Apabila khidmat tersebut mendapat "permintaan yang memberangsangkan setelah menetapkan harga", HALPS akan didaftarkan sebagai sebuah perusahaan.

- CNA/im

Top