Images
  • Teo Chee Hean
    Encik Teo Chee Hean di Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-23. (Gambar: Tang See Kit)

ASEAN meterai perjanjian bagi permudah pergerakan bas rentas sempadan

SINGAPURA: Satu perjanjian akan dimeterai oleh negara-negara yang menganggotai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Jumaat ini (13 Okt) untuk memudahkan pergerakan bas di rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean.

Berucap di perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-23 - mesyuarat tahunan bagi menteri-menteri pengangkutan ASEAN untuk mempertingkatkan kerjasama dalam sektor pengangkutan, Encik Teo berkata perjanjian itu akan membolehkan beribu-ribu bas keluar masuk negara-negara anggota ASEAN dengan lebih mudah lagi.

Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Memudahkan Pengangkutan Rentas Sempadan ASEAN memberi "isyarat jelas" kepada masyarakat antarabangsa bahawa rantau ini "komited untuk mewujudkan ekonomi terbuka dan bersepadu serta melonggarkan lagi perdagangan" kata Encik Teo.

Beberapa perjanjian yang akan melonggarkan khidmat udara, selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan perjalanan udara di rantau ini dan selanjutnya, juga dijangka dimeterai dan dipersetujui di mesyuarat di Singapura kelak, menurut kenyataan media Kementerian Pengangkutan.

SEKTOR PENGANGKUTAN KRITIKAL KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI: DPM TEO

Dalam ucapannya, Encik Teo juga menggesa negara-negara Asia Tenggara supaya meneruskan kerjasama dan usaha penyepaduan. Beliau menyifatkan sektor pengangkutan sebagai "tunggak penting" dan "pencetus kritikal" bagi aliran perdagangan dan pelancongan.

Beliau menarik perhatian bahawa peranan tersebut akan menjadi semakin penting.

"Kita boleh menjangkakan sektor pengangkutan akan memainkan peranan yang lebih penting sedang pengaliran perdagangan dan pelancongan meningkat, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan golongan pertengahan yang berkembang pesat," katanya.

"Bagi memastikan pertumbuhan ASEAN yang berterusan, kita perlu berusaha ke arah visi ASEAN yang lebih luas, cekap dan bersepadu."

Justeru, Encik Teo menekankan bahawa kerjasama dan integrasi sektor pengangkutan di rantau ini mesti diteruskan dalam ASEAN serta dengan rakan-rakannya.

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat "kemajuan yang baik" dalam usaha memperkukuhkan laluan udara, laut dan darat di rantau ini. Sebagai contoh, proses pengesahan bagi perjanjian udara terbuka ASEAN sudah dimuktamadkan tahun lalu sementara inisiatif seperti Laluan Kereta Api Singapura-Kunming mencerminkan usaha untuk terus meningkatkan rangkaian pengangkutan darat.

USAHA MEMPERKUKUH LALUAN PENGANGKUTAN MENJANGKAUI RANTAU INI

Dalam usaha memperkukuh laluan pengangkutan dengan rakan-rakan utama menjangkaui rantau ini, Encik Teo merujuk kepada usaha berterusan seperti rundingan mengenai Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau dan projek-projek di bawah Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera.

Perjanjian Pengangkutan Udara Menyeluruh dengan Kesatuan Eropah (EU) juga sedang diusahakan. Sekiranya berjaya, ia akan membolehkan syarikat penerbangan dari ASEAN dan EU untuk mengakses pasaran pelancongan udara yang kian berkembang pesat di dalam dan antara kedua-dua rantau, katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-23 yang berlangsung dari 12 hingga 13 Oktober dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengannya diadakan sempena ulang tahun ke-50 ASEAN.

- CNA/SM/sm

Top