Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App 'Tembok Kata' pertingkatkan pembelajaran bahasa Melayu, rangsang minat pelajar

Sempena acara ini berapa sekolah turut mempamerkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pembelajaran Bahasa Melayu menjadi lebih menarik lagi dengan adanya aplikasi mudah alih 'Tembok Kata' untuk membantu para pelajar untuk memperluas kosa kata mereka.

Dilancarkan sempena Fiesta Bahasa 2017, ia satu lagi usaha mendekati para pelajar masa kini yang digelar sebagai 'swipers' dan 'tappers' iaitu golongan yang sering menggunakan telefon bijak mereka.

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran bahasa Melayu sejajar dengan tema Fiesta tahun ini - 'Bijak Teknologi, Cekap Berbahasa'.

LANGKAH YANG TEPAT DALAM DEKATI, RANGSANG MINAT PELAJAR

Menurut Menteri Pendidikan Ng Chee Meng pelancaran app mudah alih bagi pembelajaran Bahasa Melayu satu langkah yang tepat untuk mendekati dan merangsang minat pelajar yang kini lebih cenderung menggunakan IT.

"Penting bagi kita untu memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Ia semakin pesat digunakan dalam pendidikan di seluruh dunia. Singapura tidak terkecuali," ujarnya.

Bahkan aplikasi 'Tembok kata', mempunyai ciri-ciri menarik untuk membantu para pelajar memperluas penguasaan kosa kata mereka.

"Satu ciri yang istimewa dan unik adalah, ia diselitkan dengan dewan bahasa dan pustaka iaitu kamus. Jadi para pelajar boleh menggunakan kamus untuk mempertingkatkan bahasa, untuk mempertingkatkan ilmu dengan menggunakan kamus dewan ini," kata seorang wakil Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

KEGIATAN BOLEH DILAKUKAN BERSAMA TEMAN, KELUARGA

Para pelajar juga boleh membina kosa kata mereka bersama teman mahupun keluarga mereka.

"Kita sering mendengar ibu bapa selalu risau tentang pembelajaran anak-anak mereka. Tetapi dengan adanya apps, teknologi yang kita gunakan, ini meluaskan lagi ruang bagi ibu bapa untuk mendekati anak-anak mereka," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Faishal Ibrahim.

Seorang pelajar Tengku Angelina berkata: "Saya akan menggunakan app ini bersama ibu bapa saya kerana ia sangat menarik dan seronok. Dan Ibu bapa saya boleh belajar lebih tentang perkataan-perkataan baru."

Sempena acara ini berapa sekolah turut mempamerkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah masing-masing.

App 'Tembok Kata' merupakan yang pertama dalam siri app yang dibangunkan MLLPC. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SN/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan