Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota RSS Endeavour dipuji bantu tangkap suspek yang rakam video bawah skirt pelajar

Seorang anggota tentera laut, Samuel Ong ternampak seorang pemuda berdiri rapat di belakang seorang pelajar perempuan yang memakai uniform sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota RSS Endeavour dipuji bantu tangkap suspek yang rakam video bawah skirt pelajar

ME1 Ong (kiri) terima surat penghargaan dari pihak polis. (Gambar: SPF/ Facebook)

Diterbitkan : 19 Nov 2017 08:19AM Dikemas Kini : 19 Nov 2017 08:24AM

SINGAPURA: Seorang anggota tentera laut, Samuel Ong sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Pangkalan Tentera Laut Changi pada 31 Oktober apabila beliau ternampak seorang pemuda berdiri rapat di belakang seorang pelajar perempuan yang memakai uniform sekolah.

Pada mulanya, ME1 Ong tidak mengesyaki apa-apa ketika beliau berada di tangga bergerak.

"Dia berdiri begitu rapat dengannya, saya ingatkan mereka pasangan kekasih. Namun, saya ternampak lelaki itu merakam video bawah skirt pelajar sekolah menengah itu ketika saya berjalan melalui mereka," kata ME1 Ong kepada Mediacorp.

Beliau bersemuka dengan lelaki tersebut lalu menelefon polis yang kemudian menangkap suspek. Polis menyatakan bahawa beberapa rakaman video bawah skirt dijumpai dalam telefon bimbit suspek yang berusia 18 tahun. ME1 Ong diberikan surat penghargaan dari pihak polis semalam (18 Nov) atas bantuannya itu.

"Kami memuji Encik Samuel kerana bertindak pantas yang membantu dalam penangkapan suspek," demikian menurut polis di laman Facebook.

ME1 Ong berkata: "Sebagai seorang anggota SAF, saya dilatih dan diajar tentang apa yang betul. Perkara yang tepat yang harus saya lakukan pada masa itu adalah untuk membantu wanita yang memerlukan bantuan itu dan bukan bersikap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku."

ME1 ONG TIDAK TERAGAK-AGAK BERDEPAN DENGAN SUSPEK

Mengimbas kembali apa yang berlaku pagi itu, ME1 Ong, 25 tahun, berkata pelajar perempuan itu tidak menyedari tentang apa yang sedang berlaku.

"Saya segera bersemuka dengan suspek sehingga suspek sendiri terkejut. Pelajar yang sedang mendengar muzik tidak sedar tentang apa yang berlaku sehingga saya menepuk bahunya dan memberitahunya. Dia juga terperanjat," tambah pengendali sistem senjata RSS Endeavour itu.

Beliau kemudian memberitahu suspek bahawa beliau akan menelefon polis dan memaklumkan pegawai SMRT yang berada di tempat kejadian.

Suspek tidak cuba melarikan diri dan meminta maaf atas kesalahannya, kata ME1 Ong.

Mereka kemudian dibawa pegawai SMRT ke sebuah bilik. Setibanya polis di tempat kejadian, para pegawai menyoal siasat suspek berkenaan.

"Suspek ditangkap dan akan menjalani siasatan kerana merakam video bawah skirt," demikian menurut polis.

ME1 Ong memberitahu Mediacorp bahawa beliau lega kerana dapat menahan suspek.

"Selepas kami tiba di hujung tangga bergerak, saya memberitahu pelajar itu bahawa kita tidak boleh membiarkan perkara ini. Ia adalah perkara betul yang perlu dilakukan," kata ME1 Ong.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan