Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak S’pura muncul pembahas ke-3 terbaik di Qatar, bantu UIAM jadi naib johan

Muhammad Nurfirman Mohamed, 22 tahun, mencipta nama sebagai pendebat ketiga terbaik secara keseluruhan, dalam satu pertandingan bahas antarabangsa berprestij di Doha, Qa-tar.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak S’pura muncul pembahas ke-3 terbaik di Qatar, bantu UIAM jadi naib johan

Muhammad Nurfirman Mohamed, mencipta nama sebagai pendebat ketiga terbaik secara keseluruhan, dalam pertandingan bahas antarabangsa di Doha. (Gambar-gambar: Nurfirman)

Diterbitkan : 28 Apr 2017 11:08PM Dikemas Kini : 29 Apr 2017 10:31AM

BERITAMediacorp: Nama Singapura semerbak mengharum apabila bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Muhammad Nurfirman Mohamed, 22 tahun, mencipta nama sebagai pendebat ketiga terbaik secara keseluruhan, dalam satu pertandingan bahas antarabangsa di Doha, Qatar.

Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUDAC) 2017, yang diadakan buat kali keempat, adalah antara yang paling berprestij dan terbesar di peringkat antarabangsa.

Ia disertai lebih 80 universiti dari 46 negara. Sungguhpun begitu, Nurfirman berjaya menjulang gelaran tersebut bagi kategori bukan penutur bahasa Arab.

Lebih menarik lagi, beliau sebenarnya mencatat bukan satu, tetapi dua kemenangan. Nurfirman dan rakan-rakannya yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya melangkah ke peringkat akhir dan berentap dengan kumpulan dari Universiti Qatar, setelah lima pusingan.

Untuk menempah tempat ke pusingan akhir, pasukan Nurfirman berjaya menewaskan pendebat-pendebat dari universiti-universiti hebat seperti Universiti Khartoum dari Sudan, Universiti Birzeit dari Palestin dan Universiti Sultan Qaboos, Bagaimanapun, UIAM tewas pada lidah pasukan Universiti Qatar.

Peringkat akhir itu berlangsung pada 12 April lalu dan ditayangkan secara langsung di stesen TV Aljazeera, serta di kesemua kapal terbang Qatar Airways.

MINAT BERBAHAS SEJAK ZAMAN MADRASAH ALJUNIED

Nurfirman Mohamed yang merupakan penuntut bidang Sastera Bahasa Arab di UIAM, mula berjinak-jinak dalam arena perbahasan sejak menuntur di Madrasah Aljunied lagi, lantaran minatnya yang mendalam pada bahasa Arab.

Menurutnya, ia merupakan satu platform yang menarik untuk membentang hujahan dan diskusi dalam bahasa Arab. Beliau bahkan melihat keberkesanan dan peningkatan dalam mutu bahasa tersebut. Manakan tidak, dari perbincangan kepada penulisan dan percakapan, hinggakan berfikir pun dalam bahasa Arab.

“Madrasah Aljunied juga banyak menyumbang pada pengetahuan asas tentang debat. Antaranya Ustazah Asyunifar yang melatih saya dan tentu sekali asas bahasa itu memang tak boleh nak sangkal saya perolehi dari Madrasah Aljunied. Pengalaman masuk pertandingan-pertandingan sewaktu di Madrasah juga memainkan peranan besar,” tambah Nurfirman.

‘VETERAN’ BAHAS - DARI ALJUNIED KE GELANGGANG GLOBAL

Yang pasti, banyak pertandingan yang sudah beliau sertai. Antaranya Bahas Bahasa Arab Maal Hijrah Arabic anjuran UIAM antara Universiti-universiti Malaysia, Kejohanan Debat Bahasa Arab Antara Institut Pengajian Tinggi ASEAN, Bahas Bahasa Arab sempena Pesta Bahasa Arab (Mahrajan Arabiy) anjuran Universiti Malaya, dan Bahas Piala Mufti anjuran Madrasah Aljunied.

Nurfirman bersama rakan-rakannya dipilih menerusi prestasi mereka dalam pertandingan yang pernah mereka sertai sebelum ini.

Bila ditanya tentang perasaannya terpilih untuk berbahas di Qatar, ini jawapan Nurfirman: “Tentu sekali, saya gembira sangat-sangat kerana ia merupakan impian saya untuk menyertainya kerana bagi saya perdebatan ini dikira sebagai pertandingan dalam Bahasa Arab yang paling berprestij sedunia!”

Apakah cabarannya berdebat di Qatar? Menurut Nurfirman, pasukannya perlu membuat kajian dan penyelidikan yang intensif. Di samping itu, mereka juga perlu berdebat dengan pelbagai topik.

“Banyak juga cabaran yang kami hadapi. Antaranya, walaupun kami bukan datang dari universiti Arab tapi kumpulan kami terpilih untuk berdebat dalam kategori ‘native speakers’. Oleh itu, pendebat dari universiti-universiti yang kami lawan semuanya merupakan penutur asli. Mendengar hujah mereka juga bukan mudah,” cerita Nurfirman, yang semasa menjadi pelajar Pra-U Madrasah Aljunied, pernah menjadi pembahas terbaik Pertandingan Bahas Bahasa Arab ASEAN anjuran USIM pada tahun 2013.

Yang pasti, pertandingan di Qatar itu lebih sukar kerana mereka hanya diberikan tajuk bahas 20 minit sebelum pertandingan. Tajuk semasa pertarungan peringkat akhir ialah: “Dewan ini percaya bahawa kelompok muslim sederhana wajar untuk memohon maaf dan mengkritik segala bentuk keganasan di atas nama Islam”.

“Kami juga tidak dibenarkan menggunakan alat-alat elektronik. Jadi, kita kena lebih kritikal untuk keluarkan hujah kami. Di situ saya lihat peri pentingnya kerja berpasukan dan pemikiran kritikal,” sambungnya.

Dipendekkan cerita, Nurfirman dan rakan-rakannya akhirnya membuktikan kemampuan pasukan UIAM dengan muncul sebagai naib johan. Kejayaan yang sekaligus mengharumkan kedua-dua nama Malaysia dan juga Singapura, menerusi Nurfirman.

BAGAIMANA PULA ‘BERBAHAS’ DI RUANG MEDIA SOSIAL?

Berbahas di pentas sudah. Berbahas di gelanggang sudah. Bagaimana pula ‘berbahas’ di ruang media sosial? Apa pula perspektif beliau tentang wadah tersebut, memandangkan hari ini ramai yang mengambil kesempatan untuk ‘bebas’ bersuara.

“Pada saya platform media sosial ni penting bagi memberikan ruang untuk kita bincang dan berdebat dalam beberapa isu. Walau bagaimanapun, penting juga untuk kita ketahui hakikatnya bahawa ia adalah satu platform terbuka yang adakalanya tidak mempunyai had hinggakan membuatkannya sangat terdedah kepada penyalahgunaan dan eksploitasi," hujah Nurfirman.

Beliau percaya, orang ramai berwaspada apabila hendak mulakan satu perbincangan. “Jangan lupa untuk ikut garis panduan sosial dan moral,” kata beliau yang percaya, budaya berbincang dan berdebat itu sangat beliau alu-alukan.

(Artikel ini disumbangkan oleh penulis sambilan, Abdul Rauuf Maskhazin) 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan