Images
  • kaesang
    'YouTuber' Kevin Hendrawan bersama anak Presiden Indonesia Kaesang (kanan). (Gambar: Petikan dari YouTube)

Anak Presiden Jokowi yang menuntut di S'pura sudah 4 bulan tidak dikirim wang. Ini ceritanya...

SINGAPURA: Tahukah anda, seorang anak lelaki Presiden Joko Widodo bagi Indonesia, kini sudah enam tahun tinggal di Singapura dan masih lagi bersekolah di negara ini?

Itulah hakikatnya. Kaesang Pangarep yang berusia 23 tahun, adalah anak bongsu Presiden Jokowi dan kini seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Singapura.

Fakta tersebut dinyatakan sendiri oleh Kaesang semasa diwawancara seorang YouTuber terkenal Indonesia, Kevin Hendrawan, yang datang ke Singapura.

Beliau sebelum ini menuntut di Sekolah Anglo Chinese (ACS International), sebelum melanjutkan pendidikan ke Universiti Sains Sosial Singapura atau SUSS, yang sebelum ini dikenali sebagai UniSIM.

Kaesang baru-baru ini heboh di media Indonesia kerana dalam wawancara dengan YouTuber di Singapura itu beliau mengaku pernah bertahan dengan setakat memakan sebungkus mi segera sehari di Singapura.

SEBUNGKUS INDOMIE SEHARI KERANA BAPA LUPA KIRIM DUIT

Kaesang yang juga dikenali sebagai seorang 'YouTuber' dan sering memuat naik pelbagai rakaman video, baru-baru ini bergabung dengan Kevin Hendrawan dan tajuk perbualan mereka berkisarkan tentang berapakah wang yang dibelanjakan seorang anak Presiden di Singapura.

Video tersebut dirakamkan di sebuah pusat penjaja di Singapura.

Di awal video, Kaesang berkongsi bahawa tidak mustahil untuk seseorang hidup dengan biaya yang sangat minimum di Singapura. Beliau yang juga pengusaha perniagaan pakaian dengan jenama 'Kolektor Kecebong' itu mendedahkan dirinya pernah hidup secara berhemat ketika pertama kali tiba di Singapura.

"500 ribu rupiah, beli Indomie kan sekitar dua dolar, dapat lima (bungkus). Satu Indomie dibahagi tiga untuk sehari. Itu sudah dapat (makanan untuk) lima hari. (Saya) pernah (seperti itu), dulu waktu pertama kali ke Singapura kerana bapa lewat kirim duit. Bukan lewat, tapi lupa kalau harus kirim duit. (Saya) anak yang dilupakan," seloroh Kaesang.

Selain itu, Kaesang juga menjelaskan banyak perkara lain seperti tambang pengangkutan, makan, tempat tinggal dan lain-lain.

Beliau juga berkongsi kegiatan sehariannya di Singapura.

"Kuliah, makan, tidur, main 'game', menyunting video kalau perlu. Pulang-balik ke Solo, jual pakaian," sambungnya dengan santai.

Selain mempunyai perniagaan sendiri, Kaesang juga memperoleh pendapatan hasil rakaman-rakaman video yang dimuat naik ke laman YouTube. Jadi, apakah beliau masih mendapat kiriman wang daripada kedua orang tuanya?

"Untuk sekarang, kadang-kadang sudah tidak dikirim (oleh bapa). Malah sudah empat bulan tidak dikirim. Untuk sekarang masih bisa bertahan, aman," ujar Kaesang.


Selain Kaesang, seorang lagi anak Presiden Jokowi, iaitu anak sulungnya yang bernama Gibran Rakabuming, juga pernah mendapat pendidikan di Singapura.

S'PURA TEMPAT PRESIDEN INDONESIA HANTAR ANAK BELAJAR

Singapura nampaknya menjadi tempat Presiden Indonesia menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan.

Sebelum ini, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono juga menghantar dua orang anak lelakinya yang bernama Edhie baskoro dan Agus Harimurti untuk menuntut di institusi pendidikan di Singapura sekitar 10 tahun lalu.

Malah bukan sahaja pemimpin Asia Tenggara, pemimpin sejauh Afrika juga nampaknya berbuat demikian. Misalnya, Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, menghantar anak perempuannya yang bernama Bona Mugabe ke sini. Bona menuntut di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dan mendapat ijazah Sarjana pada tahun 2013. 

- Merdeka.com/NK/aq

Top