Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alibaba bakal buka makmal kajian global di S'pura

Syarikat internet gergasi dari China, Alibaba, akan membuka sebuah makmal penyelidikan di Singapura, sebagai sebahagian daripada program penyelidikan global baharunya bernama Akademi Penemuan, Pengembaraan, Momentum dan Wawasan Alibaba (DAMO). 

Anggaran Waktu Membaca:
Alibaba bakal buka makmal kajian global di S'pura

(Gambar fail: Reuters/Steven Shi)

Diterbitkan : 11 Oct 2017 11:10PM Dikemas Kini : 11 Oct 2017 11:14PM

SINGAPURA: Syarikat internet gergasi dari China, Alibaba, akan membuka sebuah makmal penyelidikan di Singapura, sebagai sebahagian daripada program penyelidikan global baharunya bernama Akademi Penemuan, Pengembaraan, Momentum dan Wawasan Alibaba (DAMO).

Singapura merupakan salah satu dari tujuh lokasi untuk menempatkan makmal tersebut, yang diumumkan hari ini (11 Okt). Lokasi-lokasi lain adalah Moscow, Tel Aviv, San Mateo dan Bellevue di Amerika Syarikat, serta Beijing dan Hangzhou di China sendiri.

Akademi baru tersebut, akan diketuai ketua pegawai teknologi kumpulan Alibaba, Jeff Zhang, yang saat ini sedang mencari cara untuk "meningkatkan kolaborasi teknologi di seluruh dunia, memajukan perkembangan teknologi canggih dan berusaha membuat dunia lebih inklusif dengan merapatkan jurang teknologi," menurut Alibaba dalam satu kenyataan.

Dengan langkahnya yang terkini, 'gergasi teknologi' ini bercadang melabur lebih dari AS$15 bilion (S$20 bilion) dalam bidang kajian dan pengembangan (R&D) sepanjang tiga tahun akan datang.

Ia juga merancang untuk menggajikan 100 penyelidik dari seluruh dunia, tambah Alibaba.

Makmal-makmal baru itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan asas dan gangguan teknologi, termasuk kemahiran menganalisis data, Internet of Things (IoT), fintech, pengkomputeran kuantum dan interaksi antara mesin dan manusia.

Khususnya, tumpuan pada topik-topik seperti pembelajaran mesin, keselamatan rangkaian, pengkomputeran visual dan proses pertuturan bahasa secara semula jadi.

Makmal-makmal turut berkolaborasi dengan pakar-pakar dari industri teknologi dan institut pendidikan untuk meneroka huraian bagi mempertingkatkan kecekapan dan keselamatan syarikat-syarikat selain pengalaman para pengguna teknologi.

Misalnya, akademi tersebut bakal bekerjasama dengan Universiti California di Berkeley dalam beberapa perkara seperti pengkomputeran masa nyata secara selamat.

Akademi itu sudah mengumumkan sebuah lembaga penasihat seramai 10 anggota, termasuk profesor dari universiti-universiti terbaik dari China dan Amerika Syarikat.

"Akademi DAMO Alibaba akan berada di barisan hadapan bagi membangunkan teknologi generasi seterusnya, yang akan memacu perkembangan Alibaba dan rakan-rakan kongsi kami," kata Encik Zhang.

"Kami bermatlamat mahu menghasilkan teknologi terbaru yang lebih cekap, selamat dan mempunyai sinergi ekosistem bagi pengguna dan perniagaan di mana sahaja mereka berada."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan