Images
  • Alias Main
    Alias Kadir yang di hospital dan harus menjalanai pembedahan kudungkan kakinya. (Gambar: BERITAMediacorp)

Alias Kadir terpaksa kudungkan kaki, jika tidak ia boleh bawa maut

BERITAMediacorp: "Saya harap peminat dan semua boleh dan akan terus mendoakan diri saya ini." Begitulah permintaan pelawak terkenal Singapura, Alias Kadir. Kaki kirinya kini sudah dikudungkan setelah melalui pembedahan empat jam kelmarin (4 Ogos).

Apakah Alias Kadir nanti tidak akan serancak dulu? Apakah Alias Kadir teraksa mengenepikan dunia seni dan dunia komedi tempatan? Itulah antara persoalan yang muncul lantaran keadaannya itu setelah kakinya dipotong.

Sejak BERITAMediacorp melaporkan keadaan penyakit kencing manis Alias Kadir hingga terpaksa dipotong dua jari kaki kirinya pada April lalu, ternyata penyakitnya menjadi bertambah teruk dan kini bahagian bawah kaki yang sama, terpaksa dikudungkan pula.

Ketika ditemui di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada Khamis lalu (3 Ogos) sebelum pembedahan dijalankan, pelawak setempat ini sempat menunjukkan muka yang ceria dan masih lagi tersenyum dan ramah melayan pertanyaan wartawan.

Ketika itu, kedua-dua isterinya juga turut hadir sama memberikan sokongan kepadanya, selain ditemani oleh keluarga dan sanak saudara. Isteri pertamanya, Cik Suriana Sanusi, 54 tahun, dan isteri keduanya, Cik Begum Jan Mohd Ayub, 64, tahun turut sama membantu menjawab pelbagai pertanyaan dari BERITAMediacorp.


ALIAS SAKIT TERUK SELEPAS HARI RAYA

Menurut Alias, 54 tahun, keadaannya bertambah serius selepas Hari Raya lalu, dan perlu keluar masuk hospital beberapa kali kerana demam panas yang berlarutan dan kadar gula yang terlalu rendah. Ini menurutnya lagi, membuatkan badannya lemah dan seakan ingin pitam beberapa kali, baik di rumah, mahupun ketika di luar.

“Sejak seminggu yang lalu, saya sudah dimasukkan di hospital kerana demam panas, pneumonia (radang paru-paru) dan muka yang sudah membengkak. Sehingga doktor pun sudah menelefon isteri dan keluarga dan menyuruh mereka datang ke hospital, kerana keadaan saya yang dah teruk dan tidak sedarkan diri.

"Namun, Alhamdulliah, bengkak dan air di dalam badan sudah berkurangkan. Namun keadaan kaki kiri tetap parah, dan saya diperintahkan untuk menjalani ... dan perlu dikudungkan bahagian di bawah lutut, kerana kuman sudah pun merebak," ujarnya dengan serius.

Isteri keduanya, Cik Begum Jan turut memberitahu, keadaan kesihatan Alias bertambah teruk sehingga perlu di hantar ke hospital, bermula dari demam panas melebihi 41 darjah selsius, dan radang paru-parunya dipenuhi dengan air yang banyak. Ini juga menyebabkan keadaan kesihatan dan komplikasi penyakit yang lain. Alias turut menghidap penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, serta buah pinggang.

“Memang keadaan kesihatannya bertambah lebih teruk lagi sejak beberapa bulan yang lalu. Namun, kami ingatkan cuma demam panas biasa, tetapi lama-kelamaan ianya serius hingga terpaksa dirawat di hospital juga.

“Kini pembedahan sudah pun selamat dilakukan semalam (Jumaat) dan Alias dinasihatkan untuk berehat di hospital, mungkin selama seminggu atau lebih. Jika kakinya tidak dipotong dengan segera, ianya boleh membawa maut, kerana kuman di bahagian tersebut sudah pun dijangkiti teruk, bernanah dan tidak boleh diubati lagi,” jelas Cik Begum Jan kepada BERITAMediacorp. Beliau sebenarnya menghidap penyakit barah buah dada dan sehingga kini masih lagi memerlukan rawatan untuk penyakitnya.


ALIAS KADIR STABIL TETAPI LEMAH

Cik Begum turut menjelaskan, Alias yang dilihat stabil tetapi masih lagi lemah selepas pembedahan turut diberikan ubat penenang dan ubat penahan sakit untuk melegakannya. Pemakanan dan ubatannya perlu dipantau dengan ketat supaya, kesembuhan dapat dikecapi dengan segera.

Cik Begum Jan turut memberitahu kami, beliau tanpa henti memberikan dan menasihatkan Alias dengan kata-kata semangat dan menyuruhnya berzikir setiap waktu agar hatinya lapang, dan dimudahkan segala urusan olehNya.

“Sebagai isteri walaupun saya sendiri kurang sihat, saya tanpa henti menyuruh Alias tetap bersabar, memberikannya semangat untuk tidak putus asa, ingat anak-anak dan cucu dan jangan lupa untuk berzikir dan berselawat memohon keampunan dari Allah, semuga kami juga diberikan kesihatan dan dimudahkan segala urusan sekeluarga.

"Kami juga memohon doa dari semua peminat agar doakan Alias supaya cepat sembuh, walaupun kurang sempurna fizikalnya nanti,” tambah Cik Begum Jan lagi.

INGIN TERUSKAN BUAT SINGLE BERSAMA HAMZAH ADON

BERITAMediacorp dimaklumkan Alias masih lagi ingin berkarya, namun bukan di waktu terdekat ini. Beliau masih ingin meneruskan bidang nyayian dan sudah pun berura-ura ingin merakamkan lagu single bersama pelawak terkenal dan teman baiknya, Hamzah Adon.

Ketika dihubungi, Hamzah menjelaskan, lagu yang hendak dirakamkan sudah pun dipilih dan dicipta oleh Faizal Sapuan, seorang karyawan muzik tempatan.

“Lagu terbaru untuk single kami berdua sudagpun siap dipilih dan cipta untuk Abang Lias (Alias Kadir), kini hanya menunggu masa terbaik, selepas beliau sembuh sepenuhnya, dan bolehlah kami mulakan rakaman. Saya berharap peminat akan terus menyokong Alias Kadir dan turut mendoakan beliau lekas sembuh dari pembedahan kakinya,” kata Hamzah, pelawak berusia 45 tahun ini lagi.


INGIN MENGGUNAKAN KAKI PALSU – KAKI PROSTETIK

Bila ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Alias memberitahu beliau sudah pun berbincang dan bersedia untuk memakai kaki palsu atau kaki prostetik, supaya kehidupannya tidak akan teruk terjejas, dan tidak kisah pula untuk berkerusi roda buat jangka waktu terdekat ini.

“Saya sudahpun bersetuju dan ingin menggunakan kaki prostetik untuk meneruskan kehidupan. Saya rasa kerusi roda juga mungkin akan diperlukan buat waktu terdekat ini. Saya tiada pilihan, saya ok dan reda dengan ketentuan ini.

"Kita mesti ingat positif dan jangan fikir-fikirkan lagi. Lihat sahaja, Hamid, (pemain bes dan ahli kumpulan Black Dog Bone) dia juga menggunakan kaki prostetik dan kini boleh berjalan dengan baik dan meneruskan kehidupan seperti orang biasa," kata Alias yang jelas mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Beliau akur bahawa rawatan dan proses untuk sembuh akan mengambil masa. "Tetapi saya yakin, boleh melakukannya. Saya harap peminat dan semua boleh dan akan terus mendoakan diri saya ini,” ujarnya lembut.  

- BERITAMediacorp/WA/fa

Top