Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi keselamatan privet diberi panduan kenal pasti individu radikal

Persatuan Keselamatan Singapura menyatakan ia akan mengeluarkan garis panduan bagi agensi-agensi keselamatan privet untuk mengenal pasti individu-individu yang mungkin radikal.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2017 12:38PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 10:56PM

SINGAPURA: Persatuan Keselamatan Singapura (SAS) hari ini (22 Jun) menyatakan ia akan mengeluarkan garis panduan dan tanda-tanda yang boleh digunakan agensi-agensi keselamatan privet untuk mengenal pasti individu-individu yang mungkin radikal.

Langkah ini diambil menyusuli tindakan ke atas dua pegawai polis tambahan AETOS yang ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Langkah itu akan dilaksanakan setelah mengadakan rundingan dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF), menurut persatuan perdagangan keselamatan itu menerusi kenyataan media.

Ia menambah pihaknya akan bekerjasama dengan para anggota untuk membentuk dasar-dasar memberi maklumat dalaman bagi memastikan agensi-agensi mempunyai proses-proses untuk menangani kes-kes sedemikian dengan berkesan.

Muhammad Khairul Mohamed, 24 tahun, seorang pegawai polis tambahan di divisyen penguatkuasaan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands diberkas pada bulan Mei dan ditahan di bawah ISA kerana merancang untuk ke Syria dan menyertai keganasan bersenjata, menurut MHA pada Selasa lalu (20 Jun).

Rakan sekerja Khairul, Mohamad Rizal Wahid, diletakkan di bawah perintah sekatan pada bulan Jun kerana menyokong niat Khairul untuk menyertai pertempuran di Syria, tambah MHA.

Menurut SAS ia "amat bimbang" dengan tindakan penguatkuasaan terbaru itu.

"Episod ini mungkin menjejas keyakinan orang awam terhadap agensi-agensi dan pegawai keselamatan privet," menurut SAS.

SAS menambah ia mewujudkan sebuah Jawatankuasa Anti-Pengganasan pada bulan Mei lalu untuk meneliti agensi-agensi keselamatan privet dan para pegawai boleh memainkan peranan dalam usaha-usaha anti-pengganasan Singapura. Jawatankuasa itu juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan dalam kedua-dua inisiatif tersebut.

SAs juga menyatakan kedua-dua individu yang ditahan itu "tidak mewakili" para pegawai keselamatan yang lain, yang merupakan pekerja yang bertanggungjawab menjalankan tugas harian mereka.

"Kami bersetuju dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam bahawa keluarga dan rakan-rakan adalah kumpulan pertama yang mengenal pasti individu yang sudah menjadi radikal pada peringkat awal dan sukar bagi SPF atau AETOS untuk mengesan tanda-tanda individu radikal menerusi pemeriksaan," menurut SAS.

"Sungguhpun demikian, agensi-agensi keselamatan masih boleh memainkan peranan penting dalam membantu mengenal pasti individu radikal menerusi langkah-langkah yang digariskan." 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan