Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi global: S'pura harus sasar kes pelaburan wang haram lebih rumit

Rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan yang kukuh wujud di Singapura bagi mengekang pelaburan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 04:31PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 01:55AM

SINGAPURA: Rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan yang kukuh wujud di Singapura bagi mengekang pelaburan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Namun, pihak berkuasa juga harus secara agresif menyasarkan kes-kes lebih rumit dan rentas sempadan, menurut Pasukan Bertindak Tindakan Kewangan (FATF).

Menurut laporan FATF yang dikeluarkan hari ini (27 Sep) yang menilai prestasi Singapura sejak penilaian yang kali terakhir dilakukan pada 2008, Singapura dapat dengan sewajarnya menilai dan mengurangkan risiko-risiko pelaburan wang haram dan pembiayaan pengganasan. Ia juga memberikan kerjasama antarabangsa yang baik bagi menangani jenayah-jenayah itu.

FATF juga mengambil perhatian bahawa sektor kewangan di sini diselia dengan ketat oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan kebanyakan institusi kewangan dengan jelas memahami apa yang perlu dilakukan berhubung jenayah-jenayah itu.

Namun, meskipun ia memuji Singapura atas jumlah yang meningkat bagi siasatan, pendakwaan dan sabitan kesalahan bagi pelaburan wang haram, FATF menyatakan bahawa memandangkan statusnya sebagai hab kewangan yang serba canggih, ia juga harus secara agresif menyasarkan kes-kes lebih rumit dan rentas sempadan.

Dalam pada itu, Unit Perisikan Kewangan - yang berada di bawah Jabatan Ehwal Komersil Pasukan Polis Singapura - akan membangunkan lebih banyak keupayaan analisis data yang canggih untuk membantu dalam usaha tersebut.

Bidang-bidang lain yang boleh diperbaiki termasuk: Memperkukuhkan penyeliaan sektor bukan kewangan, mempertingkatkan pemahaman institusi-institusi kewangan tentang risiko-risiko baru dan cara mengurangkannya. FATF juga menggesa agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang Singapura supaya secara proaktif merampas hasil-hasil untung jenayah.

JAWATANKUASA: TIDAK DIBERI PENGIKTIRAFAN SECUKUPNYA

Menurut Jawatankuasa Pemandu Nasional bagi Mengekang Pelaburan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan, sistem yang mantap sudahpun wujud untuk mengekang risiko-risiko tersebut.

"Sistem Singapura untuk mengekang pembiayaan pengganasan tidak diiktiraf secukupnya oleh para penilai FATF, yang menyebut tentang kurangnya pendakwaan jenayah dan sabitan kesalahan bagi kesalahan-kesalahan pembiayaan pengganasan," menurutnya dalam satu kenyataan berasingan.

Ia menambah bahawa Singapura sudah mengendalikan 17 kes sedemikian sebelum ini, namun menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bukan pendakwaan.

Contohnya, awal tahun ini, enam warga Bangladesh didakwa kerana membiayai pengganasan di bawah Akta Pengganasan (Pengekangan Pembiayaan). Namun, ini semua tidak diambil kira FATF dalam laporan terbarunya kerana ia berlaku selepas penilaian itu, menurutnya.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan