Images
  • handcuff (1)
    Gambar fail gari tangan. (Gambar: AFP/Michelle Shephard)

90 disyaki penipu disiasat bagi kes melibatkan lebih S$1.1 juta

SINGAPURA: Secara keseluruhannya 90 orang disiasat kerana disyaki terlibat dalam 286 kes penipuan yang melibatkan lebih S$1.1 juta, menurut polis dalam satu kenyataan media hari ini (17 Jun).

50 lelaki dan 40 wanita, berusia antara 16 hingga 65 tahun, ditangkap dalam operasi merata negara selama tiga hari yang bermula Isnin (12 Jun) hingga Rabu (14 Jun).

Polis bagaimanapun tidak menjelaskan jenis penipuan yang dilakukan, setakat menyatakan para suspek disiasat kerana menipu dan melaburkan wang haram.

Mereka yang didapati bersalah menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda, sementara mereka yang didapati bersalah melaburkan wang haram boleh dikenakan hukuman penjara yang sama dan/atau didenda sehingga $500,000.

Polis menambah bahawa pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan sedemikian dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terlibat dalam penipuan.

Polis juga mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa saja yang membenarkan akaun bank mereka digunakan dalam penipuan sebegitu boleh disiasat dan didakwa.

- CNA/ru

Top